Kerajaan persekutuan dan Pakatan Harapan (PAKATAN) memeterai Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik bagi mengukuhkan kerjasama rentas parti di Dewan Bankuet, Parlimen pada 13 September 2021. Foto PEJABAT PERDANA MENTERI
AGENDANASIONAL

Persefahaman dijalin persekutuan dan PAKATAN elak telagah, fokus pulih negara

SHAH ALAM, 3 OKT: Perdana menteri berpuas hati dengan persefahaman dijalin antara kerajaan persekutuan dan pembangkang dalam memulihkan pandemik Covid-19 serta ekonomi negara.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perjanjian dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik menampakkan hasil apabila perbahasan di Parlimen dijalankan secara profesional.

“Kalau kita lihat dalam Parlimen pun, perbahasan sangat profesional, tidak seperti dahulu. Tidak ada banyak gangguan, jerit-menjerit. Keadaan tenang (dan) kita saling menghormati antara satu sama lain.

“Jadi, objektif kita tandatangani itu (MoU) supaya tidak ada lagi terlalu banyak pertelagahan (yang) akhirnya membolehkan kerajaan menumpukan sepenuh tenaga untuk negara,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama sebuah stesen televisyen malam ini.

Pada 13 September, kerajaan persekutuan dan Pakatan Harapan (PAKATAN) melakar sejarah negara apabila buat pertama kali menandatangani MoU yang membentuk kerjasama dwipartisan dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia.

Memorandum berteraskan enam agenda merangkumi pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata kerajaan turut mengambil kira pandangan pembangkang dalam menggubal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) termasuk bajet yang akan dibentangkan.

“Saya dah beritahu pembangkang, kerajaan perlukan mereka sebagai semak dan imbang kepada apa yang dilaksanakan kerajaan. Itu juga perlu,” katanya.


Pengarang :