Selangorkini
Aksi pemain badminton perseorangan negara Lee Zii Jia ketika menentang pemain perseorangan Perancis, Brice Leverdez pada perlawanan peringkat kumpulan M pada temasya Olimpik Tokyo 2020 di Mushashino Sports Plaza pada 28 Julai 2021. Foto BERNAMA
AGENDA SUKANKINI

Piala Sudirman: Aksi memberangsang Malaysia berakhir di tangan Jepun

KUALA LUMPUR, 3 OKT: Aksi memberangsangkan skuad muda badminton negara pada kejohanan Piala Sudirman 2021 di Vantaa, Finland terhenti setakat peringkat separuh akhir selepas tumpas 1-3 kepada Jepun, malam tadi.

Ia kemenangan kedua Jepun ke atas Malaysia dalam edisi kejohanan berpasukan itu kali ini selepas menundukkan skuad negara 4-1 pada aksi terakhir peringkat Kumpulan D, sebelum ini.

Bagi Malaysia pula, kecemerlangan sewaktu menundukkan musuh tradisi Indonesia di suku akhir, semalam, gagal diulangi menyaksikan kemarau kemenangan selama 16 tahun berdepan Jepun gagal ditamatkan. Kali terakhir Malaysia mengatasi Jepun dalam Piala Sudirman ialah pada edisi 2005 Beijing China.

Langkah kiri Malaysia pada pertembungan itu bermula seawal aksi beregu lelaki apabila pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 Aaron Chia-Soh Wooi Yik dikejutkan pasangan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi yang lebih agresif dan tangkas sepanjang 42 minit permainan berlangsung.

Hoki-Kobayashi yang berada di ranking ke-16 dunia mencatat kemenangan 21-15, 21-14 sekali gus menghadiahkan mata pertama kepada Jepun sebelum giliran perseorangan wanitanya Akane Yamaguchi meletakkan pasukannya selesa mendahului 2-0.

Berada di ranking kelima dunia, Yamaguchi ternyata berada di kelas tersendiri apabila mudah mengatasi wakil negara di kedudukan ke-53 dunia S Kisona 21-7, 21-5 dalam masa 26 minit.

Meskipun keadaan semakin tegang dan tekanan mula dirasai kem Malaysia selepas dua kekalahan pertama itu, suasana di venue pertandingan tetap riuh dengan sorakan penonton yang hadir memberikan sokongan padu kepada skuad negara.

Pemain perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia yang juga kapten pasukan tampil menyekat momentum Jepun apabila menumbangkan pemain nombor satu dunia Kento Momota dengan bergaya untuk mengutip mata sulung Malaysia.

Pada aksi penuh mendebarkan itu, Zii Jia yang ketinggalan 7-11 pada satu ketika bangkit mempamerkan persembahan bertenaga untuk mendahului 15-14 dan mengikat kedudukan 20-20 sebelum memastikan dua mata terakhir menjadi miliknya untuk menoktahkan kemenangan 22-20 di set pertama.

Zii Jia semakin berkeyakinan di set kedua apabila mendahului 11-7, namun Momota mempamerkan taring mengikat kedudukan 12-12 sebelum perlawanan menjadi sengit dengan kedua-dua pemain saling berjaya mencuri mata sehingga kedudukan terikat 19-19.

Seakan tanpa sebarang tekanan, Zii Jia mudah mematahkan pukulan Momota untuk mengutip dua mata berturut-turut sekali gus menoktahkan keputusan 21-19 dan beliau meraikan kejayaan bermaknanya itu dengan membuka dan mencampakkan bajunya ke udara.

Bagaimanapun, harapan meraih mata penyamaan tidak berjaya ditunaikan pasangan beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah yang mempamerkan semangat juang tinggi menyaingi kehebatan gandingan Mayu Matsumoto-Misaki Matsumoto sebelum tumpas 19-21, 17-21 dalam tempoh 55 minit.

Walaupun ditunjukkan jalan keluar, skuad muda negara sebenarnya telah melepasi sasaran mara ke suku akhir yang ditetapkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Selepas ini perjuangan Malaysia akan diteruskan pada kempen Piala Thomas dan Piala Uber 2021 yang dijadual berlangsung dari 9 hingga 17 Okt di Aarhus, Denmark.

Dalam saingan Piala Thomas, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Jepun, England dan Kanada sementara Skuad Piala Uber bakal berhadapan China, pasukan tuan rumah, Denmark dan Kanada dalam Kumpulan D.

-BERNAMA


Pengarang :