Pemain badminton perseorangan lelaki Lee Zii Jia menewaskan pemain Ukraine Artem Pochtarov 21-5, 21-11 dalam saingan Olimpik Tokyo pada 25 Julai 2021 – Foto Facebook Majlis Sukan Negara
AGENDASUKANKINI

Piala Sudirman: Malaysia tumpas di tangan Jepun peringkat kumpulan

KUALA LUMPUR, 1 OKT: Lapan belas tahun berlalu, badi kekalahan kepada Jepun masih menghantui Malaysia apabila pasukan negara terus tewas kepada pasukan dari negara matahari terbit itu 1-4 dalam Piala Sudirman 2021 di Vantaa, Finland.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia menduduki tempat kedua dalam Kumpulan D, manakala Jepun menerajui Kumpulan.

Pemenang pingat gangsa beregu lelaki Olimpik Tokyo, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meraih kemenangan pertama Malaysia apabila pasangan itu menundukkan pilihan ke-16 dunia Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, 22-20, 14-21, 21-16, dalam perlawanan sengit yang berlarutan sehingga 67 minit.

Dalam perlawanan berikutnya pemain perseorangan wanita negara S Kisona tumpas buat kali kedua dalam kejohanan, kali ini di tangan pemain pilihan kelima dunia Akane Yamaguchi menerusi straight set, 14-21, 14-21.

Perlawanan hebat yang dinantikan ramai peminat badminton menyusul kemudiannya apabila pemain nombor satu dunia Kento Momota berhadapan dengan perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia, yang pernah menumpaskan pemain dari Jepun itu dalam saingan peringkat suku akhir kejohanan All England 2021.

Selepas ketinggalan enam mata di set pertama, Momota terus beraksi dengan baik untuk menundukkan Zii Jia dengan 21-18, dan disusuli dengan kemenangan di set kedua dengan 21-10.

Dalam perlawanan berikutnya Chiharu Shida dan pasangannya Nami Matsuyama menewaskan beregu wanita Pearly Tan-M Thinaah, 21-16, 21-17, walaupun Shida dikatakan mengalami kecederaan di buku lali kiri.

Pasangan beregu campuran pilihan kelima dunia Yuta Watanabe-Arisa Higashino melengkapkan kemenangan Jepun apabila mereka menumpaskan pasangan Hoo Pang Ron-Cheah Yee See dengan 21-16, 21-9.

Bagaimanapun Malaysia sudah mengesahkan kedudukan dalam lapan pasukan yang mara ke peringkat berikutnya susulan kemenangan ke atas England, 3-2 Isnin lepas (27 Sept) dan Mesir, 5-0, pada hari berikutnya.

Dalam satu lagi saingan Kumpulan D, England membelasah Mesir 5-0 untuk menamatkan kempen mereka di tempat ketiga Kumpulan.

Sementara itu susulan undian suku akhir sebentar tadi, menyaksikan Malaysia dijadualkan bertemu dengan Indonesia dalam saingan berikutnya, esok 1 Okt pukul 9 malam waktu Malaysia (4 petang waktu Finland), manakala Jepun akan bertemu dengan Taiwan.

Juara bertahan China akan menentang jaguh Eropah, Denmark, manakala Korea Selatan pula akan bertemu dengan Thailand dalam sesi pertama pukul 3 pagi waktu Malaysia (10 pagi waktu Finland).

-BERNAMA


Pengarang :