Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Dato’ Mahmud Abbas melafaskan Ikrar Integriti dan Anti Rasuah di hadapan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam majlis lafas ikrar dan kunjungan hormat di Pejabat Dato’ Menteri Besar, Shah Alam pada 4 Oktober 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

PKNS rancang bina lebih banyak rumah mampu milik di bandar

SHAH ALAM, 4 OKT: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) merancang untuk membina lebih banyak rumah mampu milik di kawasan bandar pada masa akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Dato’ Mahmud Abbas berkata perancangan itu bagi memberi peluang kerjaya kepada penduduk dari luar bandar sekali gus berhampiran dengan kemudahan awam.

“Jika kita bina rumah mampu milik di kawasan pedalaman dan jauh dari pusat bandar, orang tidak mahu tinggal di situ dan akhirnya akan berlaku pembaziran.

“Oleh itu, saya bercadang PKNS bina lebih banyak rumah mampu milik berhampiran LRT (transit aliran ringan) dan bangunan kedai yang mana pada masa sama beri peluang masyarakat berniaga,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Lafaz Ikrar Integriti dan Antirasuah di Pejabat Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di sini hari ini.

Mengulas mengenai cadangan lokasi rumah mampu milik, Mahmud berkata pihaknya akan mengkaji terlebih dahulu kesesuaian lokasi dan bergantung kepada permintaan masyarakat.

“Sekiranya ada permintaan rumah mampu milik di Shah Alam atau Petaling Jaya, kita akan bina, tetapi buat masa ini PKNS tiada tanah di situ…jika ada peluang usaha sama dengan mana-mana pihak kita akan cuba untuk laksana,” katanya.

Mahmud dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif baharu PKNS berkuat kuasa 1 Oktober bagi menggantikan Siti Zubaidah Abd Jabar yang bersara pada 10 Ogos.

Beliau yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dari Universiti Brighton juga pernah berkhidmat sebagai pengerusi Perbadanan Pembangunan Industri Halal dan pengarah urusan Central Spectrum Sdn Bhd.


Pengarang :