Anggota polis membantu para penumpang dari ketibaan antarabangsa untuk membuat pemeriksaan kesihatan sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 20 September 2021. FOTO BERNAMA
AGENDANASIONAL

PM: Kebenaran warga asing masuk bergantung maklumat Covid-19 negara asal

KUALA LUMPUR 7 OKT: Kerajaan tidak akan membuka pintu sempadan negara sewenang-wenangnya, sebaliknya kebenaran kemasukan pengembara bukan warganegara bergantung kepada maklumat situasi Covid-19 dari negara asal mereka, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata buat masa ini kerajaan meletakkan syarat mereka yang lengkap vaksinasi dibenarkan masuk ke negara ini, namun sempadan belum dibuka kepada pelancong.

“Kalau kita lihat dari segi sejarahnya walaupun kita buka pintu negara kita kepada warganegara asing untuk masuk tetapi perkembangan di negara asal pengembara itu juga diambil kira.

“Setiap tindakan kerajaan kita dapat pandangan dan cadangan Kementerian Kesihatan (KKM) yang buat penilaian risiko, kita tidak buka (sempadan) sewenang-wenangnya,” katanya dalam sesi soal jawab pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.

Ismail Sabri menjawab soalan tambahan Senator Datuk Razali Idris mengenai sama ada kerajaan mempunyai pelan krisis pengurusan Covid-19 nasional sekiranya pintu sempadan dibuka, akan berlaku lonjakan kes dan penularan varian baharu seperti yang berlaku di negara lain.

-BERNAMA

 


Pengarang :