Penduduk menjalankan tanggungjawab mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah di SK Sacred Heart pada 26 September 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PM: Undi 18 dilaksana mulai Januari tahun depan

KUALA LUMPUR, 30 OKT: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Undi 18 akan dilaksanakan bermula 1 Jan tahun hadapan sepertimana diputuskan Mahkamah Tinggi Kuching, Sarawak sebelum ini.

Beliau berkata Kabinet membuat keputusan untuk tidak merayu keputusan berkenaan walaupun sebelum ini pihak Suruhanjaya Pilihan Raya dalam satu kenyataan memaklumkan persediaan ke arah pelaksanaannya hanya boleh dibuat menjelang Sept tahun hadapan.

“Bila mahkamah buat keputusan, kerajaan boleh merayu keputusan ini, tetapi bagi menghargai dan menghormati anak-anak muda, Kabinet telah putuskan kita tidak akan merayu keputusan dibuat Mahkamah Sarawak.

“Tidak merayu bermakna keputusan kekal, bermakna tarikh akhir 31 Dis (Untuk laksanakan Undi 18), dan 1 Jan bermulalah pendaftaran automatik untuk pengundi 18 tahun,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Belia Negara peringkat Kebangsaan hari ini.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

-BERNAMA


Pengarang :