Selangorkini
AGENDA NASIONAL

Polis Klang buru lelaki Rohingya terlibat kes pengutip sampah maut

SHAH ALAM, 18 OKT: Polis sedang menjejaki seorang lelaki Myammar berketurunan Rohingya, Mohammad Hashim Dilbashar atau lebih dikenali sebagai Hashim, bagi membantu siasatan berhubung kes kematian seorang pengutip sampah di Klang pada 10 Okt lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP S Vijaya Rao berkata pihaknya sedang mengesan lelaki berusia 30-an itu, yang alamat terakhirnya adalah di No 3, Lot 49659-A, Jalan Budaya, Kampung Rantau Panjang, Klang.

“Polis memohon kepada sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan dengan lelaki itu supaya menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara di talian 03-32913344 atau pegawai penyiasat ASP J Jaya Sangar di talian 013-4013403,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berhubung insiden pada 10 Okt itu, Vijaya Rao berkata pihaknya menerima laporan pada pukul 10.11 pagi daripada seorang pegawai perubatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, mengenai seorang lelaki etnik Rohingya dalam keadaan tidak sedarkan diri dibawa oleh rakannya ke Jabatan Kecemasan hospital berkenaan.

“Pemeriksaan pegawai perubatan di HTAR mengesahkan lelaki itu telah meninggal dunia dan terdapat sembilan kesan tikaman di bahagian kepala, tubuh dan kaki. Hasil bedah siasat mendapati kematian disebabkan pendarahan yang banyak berpunca daripada tikaman pada bahagian belakang badan mangsa,” katanya.

Menurut Vijaya Rao lagi, hasil siasatan pihaknya mendapati dua lelaki yang juga etnik Rohingya terlibat dalam insiden itu dengan seorang daripadanya telah ditahan pasukan khas Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Utara di Jalan Pengkalan Kubor, Kelantan, manakala seorang lagi sedang diburu.

“Mereka dipercayai cuba meloloskan diri ke Thailand melalui sempadan Golok dan suspek yang ditahan dibawa balik ke IPD Klang Utara untuk siasatan lanjut.

Dia kini ditahan reman enam hari bermula 16 Okt hingga Khamis ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :