SELANGOR

Polis tahan penganggur bakar rumah ibu saudara di Klang

SHAH ALAM, 12 OKT: Polis menahan seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kes kebakaran sebuah rumah kampung jenis kembar di Bukit Kapar, Klang dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP S Vijaya Rao berkata penganggur berusia 38 tahun yang baru keluar dari penjara atas kesalahan dadah itu ditahan pada kira-kira pukul 6 petang di sekitar tempat kejadian, susulan aduan seorang wanita berusia 37 tahun pada pukul 3.30 petang mengenai kebakaran rumahnya.

Beliau berkata pengadu adalah anak saudara kepada suspek yang tinggal di rumah bersebelahan dan sebelum kejadian suspek dikatakan telah berjumpa dengan ibu pengadu untuk meminta wang, namun tidak diberikan.

Katanya, suspek mengugut akan membakar rumah jika tidak diberikan wang sebelum dia beredar dan semasa kebakaran, rumah pengadu tidak berpenghuni kerana semua penghuni keluar bekerja.

“Pengadu yang menerima maklumat mengenai kebakaran rumahnya semasa berada di tempat kerja terus bergegas pulang dan mendapati api sedang marak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Vijaya Rao berkata suspek direman selama empat hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

-BERNAMA


Pengarang :