Pusat pemberian vaksin (PPV) Puchong Indah yang kembali dibuka bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja pada 14 Okt 2021. Foto Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kinrara
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

PPV Puchong Indah kembali dibuka, sasar suntik 1,500 pelajar sehari

Oleh Irwan Shafrizan Ismail

SHAH ALAM, 15 OKT: Pusat pemberian vaksin (PPV) Puchong Indah kembali dibuka semalam bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja dengan sasaran hingga 1,500 pelajar disuntik sehari.

Wakil rakyat Kinrara Ng Sze Han berkata program berlangsung di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Puchong Indah itu akan membekalkan vaksin Pfizer-BioNTech.

“Program ini akan berlangsung selama enam minggu sehingga 18 November depan. Sebanyak 25 sekolah dijangka akan terlibat dengan sasaran sekitar 1,000 hingga 1,500 pelajar disuntik setiap hari.

“PICK remaja di PPV ini adalah usahasama pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling, PPD Petaling Perdana, MBSJ serta Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kinrara.

“Buat masa ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hanya membenarkan pengambilan vaksin secara janji temu di PPV ini yang diuruskan pihak sekolah masing-masing,” katanya dalam kenyataan semalam.

Namun beliau yang juga EXCO Kerajaan Tempatan berharap PPV berkenaan akan membenarkan kehadiran tanpa janji temu pada masa akan datang.

“Ini bagi memastikan pemberian pelalian dapat diberikan dengan lebih meluas, termasuk kepada remaja yang mengikuti pembelajaran di rumah atau telah berhenti sekolah,” katanya.

Menurutnya PPV itu diharap dapat memudahkan penduduk Puchong, khususnya ibu bapa tanpa perlu menghantar anak mereka ke pusat pemberian vaksin di luar kawasan kediaman.


Pengarang :