Salah seorang pengunjung merakamkan pemandangan kelip-kelip di Kampung Kuantan, Kuala Selangor. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Promosi guna aplikasi digital, rancak semula pelancongan negeri

SHAH ALAM, 2 OKT: Mulai 1 Oktober, Selangor memasuki fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) seterusnya mengecapi pelbagai kelonggaran tatacara operasi piawai termasuk rentas daerah.

Justeru, orang ramai berpeluang mengunjungi pelbagai destinasi menarik setelah sekian lama ‘terkurung’ akibat pandemik.

Sempena Hari Pelancongan Sedunia pada 27 September, wartawan Nadiah Zamlus dan Alang Bendahara menemu bual Pengurus Besar Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad bagi mengupas perancangan membangunkan semula industri pelancongan.

Apakah langkah Kerajaan Negeri dan Tourism Selangor bagi membantu penggiat industri pelancongan selepas berhadapan pandemik?

Kesan pandemik terhadap industri pelancongan amat teruk, khususnya di Selangor. Banyak pengendali pelancongan terpaksa menamatkan operasi dan banyak hotel ditutup.

Bagi memastikan industri pelancongan di Selangor kekal bernyawa, Tourism Selangor bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri menerusi Pelan Pemulihan Ekonomi negeri.

Pada 2020, Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor memperuntuk RM2.6 juta kepada industri pelancongan negeri. Pada 2021, sebanyak RM2.55 juta lagi disalur menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 iaitu:

  • Geran program insentif/aktiviti promosi pelancongan Selangor berjumlah RM1 juta
  • Baucar Pelancongan Selangor 2.0 berjumlah RM1 juta
  • Program Latihan Digitalisasi Pelancongan Selangor berjumlah RM300,000
  • Insentif sekali bayar kepada 17 persatuan penggiat pelancongan negeri sebanyak RM255,000

Apakah langkah untuk mempergiat kegiatan pelancongan selepas pandemik?

Sebagai langkah mempergiatkan aktiviti industri pelancongan, kempen Tourism Selangor sempena sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2021 dijalankan bermula 20 September hingga 8 Oktober menerusi platform digital dan laman media sosial rasmi Tourism Selangor.

Antara strategi kempen ialah sesi Live-Talk Edisi WTD 2021, webinar bersama penggiat industri pelancongan, siri ‘Virtual Tour’ ke tempat pelancongan Selangor serta penganjuran Focus Tourism Talk (pelancongan perubatan), Program CSR dan Sesi Tiktok Live.

Bagi meneruskan momentum positif demi merancakkan kembali industri pelancongan negeri pasca pandemik, kami anjurkan Konvensyen Global Pelancongan Selangor (Tourism Selangor Global Convention).

Konvensyen ini akan diadakan pada 29 dan 30 November depan. Ia merangkumi Malam Anugerah Pelancongan (MTC Golf Award 2021). Konvensyen ini akan disusuli dengan Pameran Jualan Pelancongan mulai 3 hingga 5 Disember.

Kempen Pusing Selangor Dulu! yang memfokuskan pasaran pelancongan domestik sejak Disember 2020 diteruskan. Kita melantik selebriti tempatan Che Puan Juliana Evans sebagai duta kempen. Setakat ini, kempen menerima sambutan menggalakkan terutama platform digital dengan lebih 20 juta capaian sejak pelancaran kempen.

Bagi pasaran antarabangsa, Tourism Selangor menganjurkan kempen ‘Splendid Selangor, Take Me Anywhere!’ Kempen digerakkan menerusi pelbagai atas talian seperti sesi webinar di lokasi luar negara, walaupun pelancongan antarabangsa masih belum dibenarkan.

Duta Kempen, Che Puan Juliana Evans bersama gegantung promosi kempen ‘Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!’ di Bilik Mesyuarat MTES, Bangunan Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah pada 17 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI


Bagaimana kelonggaran rentas daerah membantu menghidupkan semula kegiatan pelancongan?

Industri pelancongan negeri sudah bergerak mengikut tatacara operasi piawai (SOP) fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN). Perkembangan positif ini membolehkan penduduk Lembah Klang merentas daerah meneroka tempat pelancongan sekitar negeri.

Sehubungan itu, industri ini mampu pulih secara berperingkat kepada keadaan sebelum pandemik. Selain itu, bilangan rakyat Malaysia dewasa menerima dua dos vaksin Covid-19 yang ramai juga membantu pemulihan sektor pelancongan negeri.

Apakah aktiviti pelancongan yang menarik minat orang ramai di Selangor?

Juadah tradisi dan antarabangsa mudah didapati di Selangor. Justeru, ramai yang gemar melakukan aktiviti ‘food hunting’ mendapatkan juadah berkenaan. Kafe hipster dengan dekorasi serta pembentangan hidangan menarik juga menjadi lokasi tumpuan pempengaruh media sosial.

Untuk penginapan, Selangor ada pelbagai hotel bertaraf empat dan lima bintang. Hotel-hotel ini menawarkan pakej penginapan dengan potongan harga menarik pada masa ini. Penginapan berkonsep ‘glamping’ di sini buat pelancong yang ingin dekat alam semula jadi dalam keselesaan juga menarik minat orang ramai.

Bagi pelancongan-agro, Sekinchan di Sabak Bernam merupakan lokasi yang diminati ramai terutama yang gemar berkongsi foto di media sosial. Kawasan sawah padi menjadi latar unik dan menarik untuk sesi fotografi. Sekinchan ada elemen tradisi pemandangan yang sesuai untuk pempengaruh. Di sini juga ada penyedia perkhidmatan mengambil gambar di tepi sawah padi yang menjadi pilihan selebriti Malaysia.

Bagi penggemar keindahan alam sekitar atau sukan lasak, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor destinasi popular. Sky Mirror, Kuala Selangor pula destinasi eko-pelancongan unik iaitu benteng pasir di tengah lautan di sini memantulkan keindahan langit dengan jelas. Ia hanya muncul pada sesetengah tarikh dalam bulan lunar dan sesuai untuk sesi fotografi terutama jika berpakaian berwarna-warni.

Sky Mirror di Kuala Selangor antara tarikan pelancong tempatan dan luar negara. Foto Sky Mirror Tour & Travel Sdn Bhd

Apakah strategi mempopularkan destinasi menarik menggunakan aplikasi digital?

Penggunaan aplikasi mobil amat meluas pada tahun 2015. Ketika itu Tourism Selangor menyokong dan menyediakan tenaga pakar untuk aplikasi Discover Selangor. Bagaimanapun, aplikasi itu tidak lagi aktif di pasaran. Tourism Selangor mengalihkan fokus kepada hanya satu platform digital aktif iaitu laman web rasmi; Selangor.Travel.

Ketika ini, Selangor.Travel adalah saluran digital utama yang mempromosi inisiatif Tourism Selangor selain platform media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter, LinkedIn, TikTok dan YouTube.
Selangor.Travel juga boleh dicapai menerusi versi mobil yang lebih ringan dan mesra gajet. Pengguna memperoleh maklumat lengkap industri pelancongan negeri di hujung jari sahaja.

Apakah harapan untuk industri pelancongan dalam Belanjawan Selangor 2022?

Kerajaan Negeri senantiasa memikirkan pemain-pemain industri pelancongan negeri. Bagaimanapun, tahun demi tahun, pandemik Covid-19 menjadi kebimbangan utama dan Tourism Selangor mahu melihat lebih banyak peruntukan disalur memandangkan usaha membangunkan semula industri pelancongan negeri bukan mudah.

Selain meraih semula kepercayaan ramai untuk melancong, infrastruktur pelancongan perlu diberi perhatian selain memupuk kreativiti dalam idea-idea pelancongan negeri. Ini akan menghidupkan industri dan pastinya ia perlu dilengkapi dengan layanan serta perkhidmatan berkualiti.

Pengunjung beriadah di kolam terbesar Taman Tema Sunway Lagoon ketika tinjauan pada 4 Julai 2020. Foto BERNAMA

Apakah pesanan kepada orang ramai yang ingin melancong ketika pandemik Covid-19 masih belum reda?

Pelancong perlu patuh garis panduan dan SOP kendiri termasuk menjaga jarak sosial di tempat umum. Elak pergi ke kawasan sesak. Perlu rancang ke tempat pelancongan yang kurang sesak jika ada pilihan. Dalam pada orang awam meneruskan aktiviti pelancongan, jangan lupa untuk menyokong peniaga tempatan atau pengusaha Industri Kecil Sederhana (IKS) di sekitar kawasan yang dituju bagi membangunkan ekonomi setempat.

Orang awam juga boleh membantu menguar-uar di media sosial mereka tentang kepentingan pematuhan garis panduan atau SOP ketika melancong, memuat naik gambar pengalaman percutian ke media sosial atau mengongsikan bahan promosi digital Tourism Selangor kepada rakan, keluarga dan juga kumpulan aplikasi mesej pilihan mereka.


Pengarang :