Anggota bomba turun menggunakan tali untuk menyelamatkan seorang lelaki yang mengamuk dan cuba terjun dari tingkat lima Flat Sri Johor, Cheras pada 1 Ogos 2020. Foto IHSAN BOMBA
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Pujukan di hujung nyawa

Lelaki itu menyiram tubuhnya dengan petrol. Sebelah tangannya memegang pemetik api, menunggu masa untuk dinyalakan. Sebelah lagi, terhunus sebilah parang.

Penolong Kanan Penguasa Bomba Muhammad Azizulhakim Idris perlu waspada. Padah jika tersilap langkah. Dinding dan lantai ruang tamu rumah juga ada kesan simbahan petrol. Bau kuat menusuk hidung.

Bila-bila masa sahaja individu berusia 35 tahun itu yang dirundung kemurungan menyalakan api. Ternyata, bukannya nyawa lelaki tersebut sahaja terancam tetapi nyawa sendiri dipertaruh.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Puchong, Penolong Kanan Penguasa Bomba Muhammad Azizulhakim Idris. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELAGORKINI

Berdasarkan latihan dan pengalaman, Muhammad Azizulhakim mengajaknya berbual-bual, seolah-olah telah lama kenal. Setiap kali lelaki itu membuka mulut, bau petrol bertambah ketara.

“Masa itu dada saya tambah berdebar. Perasaan takut memang ada, lebih-lebih lagi lelaki tersebut ada parang tetapi saya kuatkan semangat dan ajak berbual. Alhamdullilah dia mahu,” katanya kepada Selangorkini sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia yang dirai pada 10 Oktober.

Selepas beberapa belas minit, akhirnya beliau berjaya memujuk. Lelaki yang murung akibat kucing kesayangannya dibuang ahli keluarga kemudian diserah kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Dia ada tunjukkan gambar kucing yang dibeli di China semasa umur empat tahun. Sekarang mungkin sudah lebih lapan tahun. Macam kartun ‘Garfield’ pun ada,” kata beliau.

Sebenarnya, ketua Balai Bomba dan Penyelamat Puchong itu mengambil masa sekitar 30 minit memujuk sebelum dibenar masuk seorang diri ke rumah teres dua tingkat di Puchong pada awal tahun ini.

Itupun selepas beliau meminta ahli keluarga berada jauh dari rumah. Lelaki tersebut mengancam untuk mencederakan sesiapa jua termasuk anggota bomba jika mereka  memecahkan pintu rumah.

Lelaki yang masih bujang mendakwa kucingnya dibuang kerana haiwan itu membuang najis di kawasan rumah ibunya.

Tekanan emosi

Berdasarkan pengalaman hampir 10 tahun, Muhammad Azizulhakim mengenal pasti beberapa ciri seseorang yang mengalami tekanan perasaan.

Anggota bomba cuba memujuk lelaki yang mahu membunuh diri

“Berdasarkan pengalaman beberapa kali memujuk orang yang cuba bunuh diri, saya dapati mereka biasanya tengah lapar sebab tidak makan beberapa hari dan suka memerap diri dalam bilik.

“Mereka juga biasanya tidak mandi dan tidak tidur beberapa hari. Mungkin sebab mereka tidak kesah lagi soal kebersihan dan kesihatan diri,” katanya.

Justeru, beliau menasihati orang ramai lebih peka terhadap perubahan sikap ahli keluarga atau teman rapat bagi mencegah kejadian bunuh diri.

Balai Bomba dan Penyelamat Puchong menyelesaikan tujuh kes cubaan bunuh diri pada tahun lalu. Sebanyak 10 kes pula antara 1 Januari hingga 8 September 2021.

Bagi ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Anggerik, Muhammad Hazrin Zulkifli, beliau pernah berdepan kes gadis berusia 20-an cuba membunuh diri di sebuah kondominium di Petaling Jaya akibat tekanan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Anggerik, Penolong Kanan Penguasa Bomba Muhammad Hazrin Zulkifli. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELAGORKINI

Sambil memegang pisau, gadis yang menjalin hubungan dengan seorang selebriti mengugut untuk terjun bangunan dan mencederakan diri sendiri.

“Saya lupa tingkat berapa belas. Bila kami sampai mendapati dia berdiri di balkoni sambil pegang pisau tetapi alhamdullilah setelah kami pujuk dia jadi tenang.

“Selepas berjaya bawa dia masuk rumah, barulah tahu rupa-rupanya dia tertekan disebabkan hubungannya dengan seorang selebriti,” kata Muhammad Hazrin yang mengambil masa setengah jam untuk memujuk.

Paling diingatinya cubaan wanita dalam pengaruh dadah yang mahu terjun tingkat 18 sebuah kondominium di Petaling Jaya pada Mac tahun lalu.

Mengimbau kejadian itu, beliau mendapati wanita itu berdiri di ruang sempit di pinggir bangunan yang hanya boleh memuatkan dua orang.

Menganggap diri dibuang keluarga, wanita itu berdepan masalah kewangan hingga tidak mampu membayar sewa rumah dan ansuran kereta.

Operasi itu mengambil masa lebih sejam sebelum Muhammad Hazrin berjaya mencapai tangan dan pinggang wanita terbabit.

“Masa itu saya sedang berbual dengan wanita itu, tiba-tiba dia cakap ada angin sejuk bertiup sepoi-sepoi bahasa dan dia kata inilah detik terbaik bunuh diri kerana petanda dia akan masuk syurga.

“Masa itulah dia terleka, cepat-cepat tangan kiri saya sempat mencapai tangan dan pinggang dia dan anggota lain bantu tarik dia keluar ke tempat selamat,” katanya.

Elak himpun

Muhammad Hazrin juga pernah berhadapan dengan remaja lelaki berumur 18 tahun yang cuba terjun daripada jejambat di Shah Alam kerana putus cinta.

Bagaimanapun, remaja berjaya diselamatkan dengan bantuan sebuah lori kontena di tempat kejadian.

“Sebenarnya kita sudah berjaya pujuk dia tetapi disebabkan ada ramai orang menonton di atas jejambat menyebabkan dia malu untuk naik semula.

“Akhirnya dia turun ke atas lori kontena yang tunggu di bawah. Sampai di bawah dia ada meronta sedikit hingga terpaksa dikawal polis,” katanya.

Justeru, Muhammad Hazrin menasihati orang ramai tidak berkumpul menonton cubaan bunuh diri kerana dikhuatiri memberi isyarat salah.

Sesetengah individu yang tertekan emosinya berasa tercabar atau menganggap orang ramai tertunggu-tunggu untuk melihat aksinya terjun bangunan.

Mengikut pengalaman beliau, cubaan bunuh diri biasanya membabitkan peringkat umur remaja hingga 40 tahun, majoritinya wanita berbanding lelaki.

Balai Bomba dan Penyelamat Kota Anggerik. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELAGORKINI

Sehingga 8 September tahun ini, Balai Bomba dan Penyelamat Kota Anggerik mengendalikan 15 kes bunuh diri berbanding 11 kes sepanjang 2020.

Beliau yang berkhidmat selama 13 tahun menyifatkan tahun 2020 dan 2021 tempoh paling mencabar berikutan peningkatan kes cubaan bunuh diri.


Pengarang :