Penduduk mendapatkan bekalan air melalui lori tangki disediakan susulan penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal di loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 1 pada 13 Oktober 2021. Foto Facebook Air Selangor
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ramai dapat bekalan air semula, Hulu Selangor pulih sepenuhnya

SHAH ALAM, 15 OKT: Kebanyakan kawasan yang terbabit dengan kerja naik taraf aset loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 1 menerima semula bekalan air tengah hari ini.

Wilayah Hulu Selangor pulih sepenuhnya, Kuala Selangor (99.4 peratus), Shah Alam (94.2 peratus), Petaling (89.8 peratus) sementara Kuala Langat dapat bekalan hingga 85.7 peratus.

“Sehingga jam 12 tengah hari ini, pemulihan bekalan air di 998 kawasan yang terjejas telah mencapai tahap 68 peratus,” kata Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Mula pulih sejak 5 petang semalam di Kuala Selangor, wilayah Gombak pula setakat ini menerima bekalan 65.5 peratus, Kuala Lumpur (38.6 peratus) namun Klang baru mencapai 16.8 peratus.

Menjangkakan bekalan pulih sepenuh pada 9 malam esok, Air Selangor menjelaskan tempoh pemulihan bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan pada sistem agihan air.

Syarikat itu turut menasihatkan pengguna yang menerima bekalan agar menggunakannya secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan-kawasan lain berjalan lancar.

Maklumat terkini dimaklumkan melalui semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Twitter, Instagram dan laman sesawang hentitugas.airselangor.com.

Demi keselesaan pengguna, Air Selangor menyelenggara aset kritikal Rabu lalu setelah mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.


Pengarang :