Tempat Orang Lokal di Kompleks PKNS Shah Alam antara lokasi tumpuan ramai bagi mendapatkan kelengkapan sempena Hari Raya Aidilfitri. Foto Facebook Kompleks PKNS Shah Alam
AGENSISELANGOR

Rebat, diskaun sewa antara usaha PREC bantu 537 peniaga terjejas

SHAH ALAM, 6 OKT: Seramai 537 peniaga dan penyewa premis PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) yang terjejas pendapatan akibat Covid-19 dibantu sejak tahun lalu.

Bantuan meliputi rebat sewa, diskaun sewa promosi bulanan dan Ramadan selain pengekalan kadar pembaharuan sewa dengan nilai keseluruhan RM8.2 juta.

Bahagian perhubungan korporatnya dalam kenyataan menyebut bantuan moratorium sebanyak 50 peratus turut diberikan mulai Jun hingga September.

“Namun, PREC berharap tunggakan lama sebelum 31 Mei diberi keutamaan untuk diselesaikan. Kita mahu pastikan pemulihan ekosistem perniagaan dalam kompleks perniagaan PREC dapat dijayakan,” katanya.

Sementara itu, pemangku pengurus pusatnya berkata platform Bazaar Lokal disediakan bagi menggalakkan lebih ramai peniaga beralih ke arah digital seiring perubahan pasaran runcit.

Syahril Mohd Rashid menjelaskan pihaknya sentiasa bekerjasama dengan individu atau persatuan untuk mencari idea menarik bagi memastikan penyewa kekal bersama PREC.

“Kita memerlukan penyewa dan begitulah sebaliknya. Sebab itu kita sedia bantu mereka jika mahu mengubah strategi atau menambah baik perniagaan agar masing-masing mampu bangkit semula,” katanya.


Pengarang :