AGENDANASIONAL

Remaja lelaki lemas mandi air terjun di Ulu Yam bersama rakan

SHAH ALAM, 30 OKT: Kegembiraan lima remaja lelaki mandi di Air Terjun Ulu Yam dekat Hulu Selangor, hari ini bertukar tragedi selepas seorang daripada mereka lemas.

Mayat mangsa dikenali sebagai Muhammad Hafiz Khalil, 17, ditemui pasukan penyelamat pada jam 4.42 petang, lapor Berita Harian.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor berkata pihaknya menerima maklumat kehilangan mangsa pada jam 3.45 petang.

Menurutnya sepasukan tujuh anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dihantar ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang turut disertai enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Selangor.

“Berdasarkan maklumat, lima remaja lelaki berusia 13 hingga 17 tahun mandi di tempat kejadian sebelum seorang daripadanya dikatakan tenggelam sebelum dipercayai lemas.

“Mangsa ditemui tidak lama selepas itu dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Hafisham berkata mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.


Pengarang :