Sukarelawan membantu remaja dan ibu bapa bagi menerima suntikan pelalian Covid-19 ketika Progam Vaksinasi Remaja di PPV Bangi Avenue Convention Centre, Kajang pada 30 September 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Remaja lelaki tidak sabar kembali ke sekolah selepas divaksin

BANGI, 1 OKT: Seorang remaja lelaki yang menerima vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja tidak sabar untuk kembali ke sekolah seperti sebelum pandemik Covid-19.

Ahmad Amin Othman, 16, yang selesai menerima dos pertama mengakui jemu mengikuti pembelajaran secara dalam talian kerana tidak dapat memberikan sepenuh tumpuan sehingga menjejaskan prestasi.

Ahmad Amin Othman

Pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Bangi berkata dia juga rindu untuk melakukan aktiviti seperti bersukan di sekolah bersama rakan sekelas.

“Saya gembira apabila kerajaan mengumumkan remaja usia 12 hingga 17 tahun layak divaksin yang memberi petanda bahawa sekolah akan dibuka tidak lama lagi. Lagipun bila duduk rumah lama sangat, rasa rindu nak ke sekolah berjumpa kawan-kawan.

“Paling penting boleh belajar dalam kelas, selama ini tidak dapat fokus belajar dalam talian. Adakalanya kena marah dengan guru gara-gara lambat masuk disebabkan gangguan internet,” katanya yang juga anak yatim.

Aishah Elysa Mohamad Rosli

Anak bongsu daripada empat beradik itu antara 4,000 remaja sekitar Hulu Langat yang disasarkan menerima pelalian Covid-19 di pusat pemberian vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Bangi Avenue semalam.

Sementara itu, pelajar aliran perakaunan di sekolah sama, Aishah Elysa Mohamad Rosli, 16, berkata meskipun takut jarum namun tetap bersemangat mengambil vaksin demi memastikan diri dilindungi daripada jangkitan Covid-19.

Esther Low Pui Ting

“Sebelum datang saya rasa sangat berdebar sebab dari kecil memang takut dengan jarum suntikan, tetapi ibu bapa beri dorongan kepada saya selain mengambil pendekatan untuk tidak fikir negatif,” katanya.

Ashley Tok Pei Ye, 16, pula bersepakat untuk hadir menerima vaksin bersama kawan karibnya Esther Low Pui Ting bagi melepaskan kerinduan selepas hampir enam bulan tidak bersua-muka.


Pengarang :