Ammar Danish Noor Fadzin mengenakan kostum Naruto ketika hadir mendapatkan suntikan di Pusat Pemberian Vaksin Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Klang pada 11 Oktober 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Remaja pakai kostum Naruto terima vaksin gamit tumpuan ramai

KLANG, 12 OKT: Aksi comel seorang remaja memakai kostum Naruto mencuri tumpuan orang ramai dan petugas barisan hadapan di pusat pemberian vaksin (PPV) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi di sini.

Ammar Danish Noor Fadzin, 13, hadir ke PPV berkenaan semalam ditemani bapanya Noor Fadzin Hamdan, 45, untuk menerima dos pertama pelalian menerusi Program Imunisasi Covid-19 (PICK) Remaja.

Pelajar tingkatan satu SMK Telok Gadong membuat kelainan dengan mengenakan kostum karakter komik bersiri Jepun itu berikutan sering melihat individu lain memakai pelbagai pakaian adiwira lain ketika mengambil suntikan masing-masing.

“Sebelum ini saya tengok ada yang pakai macam-macam kostum antaranya Spiderman dan Ultraman, jadi apa salahnya saya pakai kostum ini (Naruto).

“Sejak kecil saya memang penggemar Naruto dan kostum ini pun dibeli dua tahun lepas dari platform e-dagang Shopee dengan harga RM50,” kata anak kedua daripada tiga beradik itu ketika ditemui.

Ammar Danish juga berkata dia mengenakan kostum bagi mengatasi rasa takut dan berasa lebih bertenaga untuk divaksin.

“Diharap kawan yang lain juga segera divaksin supaya dilindungi dan rasa lebih selamat. Saya akui tidak sabar untuk kembali ke sekolah bagi mengikuti pembelajaran secara bersemuka memandangkan sudah jemu belajar secara dalam talian.

Noor Fadzin Hamdan. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Saya rindu nak jumpa kawan-kawan, selama ini hanya berkomunikasi melalui panggilan video. Jadi selepas ini boleh jumpa depan-depan,” katanya.

Sementara itu, Noor Fadzin tidak lagi bimbang malah lebih yakin untuk membenarkan anaknya kembali ke sekolah selepas menerima vaksin lengkap tidak lama lagi.

“Walaupun sukar menjangkakan pergaulan anak di sekolah tetapi saya percaya keselamatan dia (Ammar Danish) lebih terjamin,” katanya.


Pengarang :