Sebahagian ibu bapa membawa anak mendaftar bagi menerima suntikan pelalian Covid-19 ketika progam vaksinasi remaja dan murid berkeperluan khas daerah Kuala Selangor di Stadium tertutup Kuala Selangor pada 29 September 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Remaja tidak sedarkan diri selepas divaksin kurang tidur, tidak bersarapan

MELAKA, 1 OKT: Kejadian seorang remaja lelaki berusia 12 tahun yang didakwa tidak sedarkan diri selepas menerima vaksin di pusat pemberian vaksin (PPV) Integrasi Encore, Klebang disahkan berlaku disebabkan remaja itu gementar, kurang tidur dan tidak mengambil sarapan sebelum vaksinasi.

Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Melaka Dr Rusdi Abd Rahman berkata ketika proses vaksinasi, remaja berkenaan kelihatan agak gementar namun tidak menunjukkan sebarang kesan sampingan sejurus selepas vaksinasi atau sepanjang tempoh pemerhatian.

Beliau berkata bagaimanapun ketika menuju ke tempat meletak kenderaan, remaja itu secara tiba-tiba kelihatan lemah dan rebah sehingga perlu dipapah oleh ahli keluarganya masuk semula ke PPV bagi tujuan pemeriksaan lanjut.

“Pemerhatian 30 minit oleh pasukan perubatan mendapati remaja itu menunjukkan keadaan stabil dan dibenarkan pulang. Panggilan telefon susulan yang dibuat kepada keluarga remaja berkenaan selepas itu mendapati dia sihat dan aktif seperti sedia kala,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Katanya hasil siasatan lanjut mendapati remaja berkenaan telah tidur lewat iaitu pada pukul 2 pagi sebelum menerima suntikan selain hanya makan sesudu nasi lemak pada pagi itu.

“Jabatan Kesihatan Negeri Melaka bersama Pejabat Kesihatan Daerah akan terus memantau status kesihatan remaja ini dari semasa ke semasa,” katanya.

Terdahulu tular di media sosial kejadian seorang remaja lelaki yang dikatakan tidak sedarkan diri selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 semalam.

-BERNAMA


Pengarang :