Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memantau kelancaran aliran trafik di 30 lebuhraya berikutan jumlah kenderaan yang menggunakan lebuh raya utama dijangka meningkat sempena cuti hujung minggu selepas kerajaan mengumumkan kebenaran rentas negeri pada Isnin lalu. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Rentas negeri: Aliran trafik lancar, terkawal – polis

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Aliran trafik di kebanyakan lebuh raya utama di negara ini hari ini berjalan lancar dan tiada sebarang kesesakan dilaporkan susulan aktiviti merentas negeri telah dibenarkan sejak, Isnin lepas.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata setakat 1 tengah hari tadi tiada pertambahan jumlah kenderaan yang luar biasa dilaporkan berlaku sama ada di Plaza Tol Sungai Besi atau Plaza Tol Jalan Duta.

“Polis tidak melihat tanda pengguna jalan raya berpusu-pusu untuk keluar masuk merentas negeri melalui lebuh raya utama memandangkan perjalanan rentas negeri telah dibenarkan buat kali pertama membabitkan hunjung minggu dan cuti umum Maulidur Rasul pada Selasa,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pada Ahad lepas, Bernama melaporkan kerajaan bersetuju membenarkan individu yang sudah lengkap vaksinasi Covid-19 melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata keputusan itu dibuat berikutan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah mencapai 90 peratus.

– BERNAMA


Pengarang :