Keadaan semasa di sekitar Plaza Tol Gombak menghala ke arah Lebuhraya Pantai Timur berada dalam keadaan terkawal tanpa sebarang pergerakan trafik luar biasa dikesan walaupun aktiviti rentas negeri dibenarkan bermula tengah malam pada 11 Oktober 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Rentas negeri: Aliran trafik lancar walau kenderaan bertambah

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Keadaan jalan utama menuju keluar dari ibu kota dalam keadaan terkawal dan tiada aliran trafik luar biasa dikesan walaupun rentas negeri dibenarkan bermula tengah malam tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mat Kasim Karim ketika dihubungi Bernama berkata setakat malam tadi tiada jangkaan trafik yang luar biasa.

“Orang ramai juga diingatkan jangan terlalu ghairah untuk melakukan pergerakan rentas negeri kerana negara masih berdepan dengan pandemik Covid-19,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama di Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Jalan Duta tengah malam tadi mendapati aliran trafik seperti biasa walaupun terdapat pertambahan kenderaan.

Beberapa kenderaan turut dilihat berhenti 300 meter daripada plaza tol bagi menantikan detik 12 tengah malam sebelum keluar daripada Plaza Tol Gombak.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media khas semalam memaklumkan kerajaan bersetuju membenarkan individu yang sudah lengkap vaksinasi Covid-19 melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis bermula hari ini.

Susulan itu, Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dalam kenyataannya memaklumkan polis akan menjalankan pemeriksaan secara rawak di kawasan tumpuan dan menamatkan sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan, Op Benteng dan cegah jenayah serta keselamatan.

– BERNAMA


Pengarang :