Selangorkini
Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakukan pemeriksaan di sekatan jalan raya (SJR) bagi memantau pergerakan orang ramai yang keluar dan masuk tanpa urusan penting di Plaza Tol Gombak pada 10 Julai – Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Rentas negeri dibenar mulai esok – PM

SHAH ALAM, 10 OKT: Kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri kepada individu yang lengkap vaksinasi mulai esok, kata perdana menteri.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan dibuat selepas kadar vaksinasi golongan dewasa negara mencapai tahap 90 peratus.

“Dengan keputusan ini Keluarga Malaysia bebas melakukan pergerakan seperti balik kampung untuk berjumpa ibu bapa yang telah lama berpisah, melancong, dan sebagainya. Namun, saya ingin mengingatkan supaya tidak bersikap sambil lewa terhadap kelonggaran yang diberikan.

“Ini penting dalam usaha membantu negara membuka semula ekonomi serta persediaan menjalani kehidupan fasa endemik dengan selamat,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya hari ini.

Bagaimanapun kebenaran itu tidak terpakai ke kawasan atau lokaliti yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Perdana menteri turut menggalakkan saringan Covid-19 menerusi ujian kit saringan pantas (RTK) antigen menggunakan air liur dilakukan terutama untuk mereka yang mahu pulang ke kampung berjumpa keluarga.

“Ketepatannya adalah 98 peratus. Jika buat pemeriksaan, kita boleh tahu keselamatan kita jadi tak perlu rungsing ibu bapa dijangkiti.

“Kerajaan tak wajibkan tapi ini tanggungjawab kita lindungi keluarga. Terserah kepada individu,” katanya.

Sebelum ini Ismail Sabri memaklumkan kebenaran rentas negeri apabila kasar vaksinasi dewasa mencapai 90 peratus berdasarkan data dan analisis dibuat Kementerian Kesihatan (KKM).


Pengarang :