Beberapa pengunjung bermain skuter elektrik ketika tinjauan Selangorkini di Dataran Shah Alam pada 1 Oktober 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Riadah lebih lama hilangkan tekanan, bantu peniaga tambah rezeki

SHAH ALAM, 2 OKT: Kelonggaran beberapa aktiviti termasuk riadah sehingga tengah malam susulan peralihan Selangor ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) melegakan ramai pihak.

Seorang peniaga di Dataran Shah Alam gembira dapat menjana semula pendapatan dengan menjual permainan kanak-kanak selepas terjejas teruk akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bila dibenarkan berniaga sehingga 10 malam pun saya bersyukur. Saya kena cari duit untuk tanggung enam anak berusia tiga hingga 13 tahun.

“Sekarang kerajaan benarkan sampai 12 tengah malam, lebih ramai orang datang ke sini terutama hari minggu dan saya boleh berniaga lebih lama,” kata Azura Zubair, 33, ketika ditemui malam tadi.

Azura Zubair,33, berniaga sehingga tengah malam setelah kerajaan mengumumkan Lembah Klang beralih ke Fasa 3 ketika tinjauan Selangorkini di Dataran Shah Alam pada 1 Oktober 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengunjung Alam Shah Los berpendapat kebenaran aktiviti lebih lama pada waktu malam membolehkan dia membawa anaknya Muhd Nazrin Shah, 12, yang juga pesakit Autisme untuk beriadah.

Kakitangan swasta berusia 51 tahun itu berkata anaknya memerlukan aktiviti sebagai terapi bagi mengelak rasa bosan setelah beberapa bulan terkurung di rumah.

“Ketika PKP ketat saya terpaksa mengajaknya berlari ulang alik dari ruang tamu ke dapur supaya dia tidak bosan. Hari ini bila bawa tengok pancuran air berirama di Laman Budaya memang dia seronok.

“Saya bersyukur sangat dan harap kes akan terus menurun supaya banyak lagi kelonggaran diberikan,” katanya.

Sementara itu, Saiful Muzamir Azmi, 33, mengingatkan orang ramai supaya terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) tambahan selepas kerajaan memberi pelbagai kelonggaran.

“Kita kena sedia hidup dengan Covid-19. Jadi perlu sentiasa pakai pelitup muka, bawa cecair pembasmi ke mana sahaja. Pilih kawasan terbuka dan elak kesesakan,” katanya.

Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa semalam dengan beberapa kelonggaran tambahan untuk individu lengkap dos vaksin.

Kebenaran baharu termasuk majlis rasmi kerajaan dan swasta, pembukaan semula sektor latihan kemahiran dan kehadiran penonton ke tempat perlawanan sukan dan rekreasi.


Pengarang :