Ir Izham Hashim membantu penduduk setempat mengambil air dari lori Air Selangor di Bandar Putera, Klang pada 14 Oktober 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Ribuan botol air minuman diagih ke hospital, pusat dialisis

KLANG, 14 OKT: Sebanyak 2,772 botol air minuman lima liter diagihkan kepada premis kritikal sekitar Klang dan Kuala Langat susulan naik taraf aset loji rawatan air semalam.

Bekalan sumbangan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) turut merangkumi tangki air berkapasiti 5,000 liter ke hospital, pusat dialisis dan masjid, kata EXCO infrastruktur.

“Kita harap masyarakat bersabar sedikit sahaja lagi kerana kerja penyenggaraan sudah selesai dan bekalan air diagihkan berperingkat mulai hari ini,” kata Ir Izham Hashim.

Beliau ditemui selepas melawat Pusat Khidmat Setempat Air Selangor bagi meninjau agihan bekalan air kepada penduduk Sri Ayu Apartment, Bandar Putera di sini hari ini.

Wakil rakyat Pandan Indah itu turut menyerahkan 1,000 botol air minuman kepada penghuni di situ termasuk membantu mereka menadah air melalui lori tangki.

“Kita harap bantuan ini memudahkan penduduk terutama jika air yang ditadah semakin surut,” katanya.

Kerja penyenggaraan sejak semalam melibatkan penduduk 998 kawasan di Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Dalam tempoh itu, sebanyak 105 lori tangki air digerakkan ke kawasan berkenaan selain 18 pili air awam disediakan mulai 14 hingga 16 Oktober demi kemudahan pengguna.

Senarai lengkap kawasan terlibat, pili air awam dan stesen pengisian air setempat boleh didapati di pautan http://hentitugas.airselangor.com.


Pengarang :