Orang ramai membeli tiket bas untuk pulang ke kampung setelah kerajaan membenarkan rentas negeri ketika tinjauan di Terminal 17, Seksyen 17, Shah Alam pada 12 Oktober 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Ribuan tiket bas terjual, pantai timur paling laris

SHAH ALAM, 13 OKT: Lebih 2,000 tiket bas ekspres di Terminal 17 di sini terjual kepada penumpang selepas pergerakan rentas negeri dibenarkan sejak Isnin.

Majoriti membabitkan tiket perjalanan ke pantai timur manakala selebihnya utara dan selatan, kata
ketua bahagian korporat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

“Kita dapat lihat jualan tiket mencatat jumlah luar biasa berbanding ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan hanya 700 tiket terjual,” kata Shahrin Ahmad.

Tinjauan Selangorkini petang semalam mendapati suasana hentian bas berkenaan masih lengang berikutan ramai memilih perjalanan waktu pagi dan malam.

Pihak pengurusan terminal menetapkan tatacara operasi piawai (SOP) ketat dengan mewajibkan pengguna mengemukakan bukti vaksinasi lengkap, menyukat suhu badan dan mengimbas kod bar MySejahtera.

Terminal 17 yang dibuka pada Mei 2019 dilengkapi sistem tiket berpusat dan paparan skrin maklumat destinasi bagi kemudahan pengguna.

Kelmarin, menteri pengangkutan meminta semua pengusaha pengangkutan awam memastikan penumpang mematuhi SOP bagi perjalanan rentas negeri terutama lengkap vaksinasi.

Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memaklumkan setiap penumpang wajib menunjukkan sijil vaksinasi masing-masing bagi membuktikan mereka sudah menerima dua dos suntikan.


Pengarang :