Selangorkini
BUDAYA RENCANA

Riko tercedera dengan pensel dan kertasnya sendiri

Oleh Nik Aidil Mehamad

Ilustrasi Matarojit

 

Riko tercedera dengan sekeping kertas berwarna kuning senja. Ia luka kecil seperti telapak kakinya yang tergores dengan pokok semalu. Merayap tumbuh liar di belukar belakang rumahnya di kampung. Pokok semalu akan menguncup apabila saja kaki bogel Riko memijaknya.

Riko juga terluka dengan sebatang pensel yang baru diasah dengan pisau cukur. Pensel jatuh dari meja dan menikam kaki kirinya.

Luka dari jari kakinya memancutkan darah.

Rutin pagi Riko selalunya adalah berdiri dalam elarti. Di mana dia temui penumpang dengan wajah emosi kosong. Kulit bersentuhan secara tak sengaja. Anak mata ke anak mata sehingga Riko dapat lihat warna kornea mata penumpang yang berdiri di sebelahnya dalam elarti. Cela-cela di muka bukanlah hal yang Riko endahkan.

Hubungan sosial ini terhenti untuk seketika. Rumah jadi tempat paling selamat.

Riko balik ke tempat yang paling selamat. Walau kadangkala rumah juga adalah neraka.

Namun rumah juga rahim paling aman. Rumah juga tempat dosa pertama lahir.

Pahala pertama diajar adalah seperti pada waktu kecil, Riko masukkan syiling 50 sen ke dalam mesin mainan di kedai runcit dan pecahkan telur plastik tanpa mengetahui isi di dalamnya. Ganjaran yang Riko tidak nampak tapi Riko percaya.

Tempat di mana Riko bebas untuk jadi apa sekalipun. Waktu kecil, rumah adalah syurga, taman permainan pertama yang terbesar dan bebas pernah Riko miliki.

Hari demi hari, keresahan pun masuk ke dalam rumah. Keluar mengalir dari peti suara televisyen. Menjelma dari paparan bercahaya telefon pintar, SMS pendek dari mana-mana kenalan atau individu yang Riko tidak kenali.

Meja tulis mula basah dengan darah.

Entah rasukan dari setan mana, kepercayaan Riko kini adalah untuk melayangkan cerekanya ke meja editor.

Barangkali seekor hantu menghuni dalam bilik menulis. Menghantui Riko sepanjang malam dengan mata terbuka, mulut terkatup. Sehinggalah Riko mula duduk di meja dan menekan papan kekunci komputer pelan-pelan.

Idea bergentayangan di siling bilik, di bawah meja tulis, bertinggung di atas meja. Berenang dalam akuarium di mana kura-kura tidur seharian. Juga tergantung di langsir.

Riko sepahkan cereka-cereka yang ditulisnya di atas meja editor.

Riko jarang sekali menulis menggunakan pen dan kertas, dan beberapa kali menggunakan mesin taip. Riko hanya mengangkut mesin taip dari bilik sewa ke bilik sewa yang baharu.

Rutin menulis adalah paling lama berbanding senaman kardio yang menjadi rutin Riko selain berlari di taman.

Darah dari luka di kakinya masih terpancut seperti replika ikan koi yang memancutkan air dari mulut ke dalam kolam ikan. Bilik hampir banjir dengan darah. Riko masih di meja tulis. Mengasah pensel baru dengan pisau cukur yang sama.

Riko pernah mengamati lelaki yang membesarkannya pada setiap pagi. Waktu itu, seingat Riko, dia belum mampu menulis patah-patah kata di atas kertas.

Bau minyak zaitun bertebaran dalam rumah yang dilumurkan di rambut ikal lelaki itu. Rambut ala Morissey berkilat. Kemas dengan bulu muka rapi terjaga. Setiap pagi, lelaki itu mencukur bulu-bulu yang tumbuh di muka dengan jenis pisau cukur yang sama untuk mengasah penselnya.

Pensel tetap juga Riko asah walaupun mengundang kecelakaan kepadanya. Diasah dengan baik agar matanya tajam. Patah-patah kata yang akan ditulisnya sekurang-kurangnya sedikit lancar.

Pernah juga berlaku kecederaan lain. Kertas tercedera apabila mata pensel ditekan dengan kuat akibat kedunguan Riko menulis surat cinta kepada Salma. Gadis yang tidak membawa tuah kepada Riko apa-apa pun sebenarnya. Emosi cinta mereka palsu. Sepalsu kasut-kasut di Petaling Street.

Bilik sewa sudah dibanjiri darah yang memancut laju dari jari manis dan kaki kirinya. Darah melimpah di lantai. Bau hanyir mengapung. Kertas–kertas yang bersepahan di lantai dihanyutkan arus darah ke muka pintu. Riko dapat lihat pantulan wajahnya apabila dia menunduk ke lantai.

Selalu juga pada waktu petang dia melihat kelesuan seperti ini. Arus darah dalam bilik ini selesu arus tali air berdekatan bilik sewanya. Riko berdiri di jambatan dan menjulurkan kepala sehingga kepalanya terbias dari permukaan air. Dia melihat kepala dengan leher panjangnya menari-menari di permukaan air.

Tanpa mengendahkan darah yang melimpah dalam bilik. Barangkali juga kerana kesakitan yang tidak dirasainya menyebabkan Riko meneruskan rutin malamnya dengan menulis cereka yang sudah beberapa minggu belum siap.

Kerusinya berlumuran darah. Papan putih yang tergantung di depan meja tulisnya terpercik darah dari luka di jarinya. Nota-nota kecil yang ditampal di papan putih tertanggal jatuh ke meja seperti daun-daun kering gugur di luar biliknya.

Seorang lelaki masuk ke dalam bilik Riko. Dia mengamati banjir darah. Riko tahu lelaki itu adalah Faris. Sangat akrab dengannya. Bekerja di kedai serbaneka tidak jauh dari bilik sewa mereka.

Faris selalu saja pulang dengan sepasang mata yang lesu dan berdengkur keras selepas itu seolah-olah protes terhadap kesunyian malam.

Dengkur tidur Faris akan menemani Riko menulis patah-patah kata di atas kertas dan seperti malam-malam sebelumnya. Kawan sebiliknya itu akan membancuh dua cawan teh hijau selepas pulang dari kerja jam 11 malam dan mengajaknya berbual sebelum Faris terlelap sendiri.

Tetapi tidak untuk malam ini.

Riko tahu, malam ini Faris tidak dapat tidur nyenyak.

Dan dengkurnya tidak akan kedengaran.


Pengarang :