Kerajaan Negeri melalui Pakej Kita Selangor 1.0 dan 2.0 menyediakan bantuan Bakul Makanan kepada penduduk yang terjejas susulan wabak Covid-19. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ringan beban penduduk, ratusan ribu keluarga terima pek makanan

SHAH ALAM, 22 OKT: Program bakul makanan Kerajaan Negeri memanfaatkan ratusan ribu keluarga di Selangor dalam berdepan pandemik Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan itu meringankan beban mereka yang mengalami kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mengelakkan putus bekalan makanan.

Menurutnya, dalam tempoh dua tahun pandemik itu Kerajaan Selangor melancarkan empat pakej rangsangan yang membelanjakan lebih RM1.1 bilion.

“Dalam laporan Unit Perancangan Ekonomi Negeri kita dapati dalam PKP pertama seluruh ahli dewan negeri, penyelaras termasuk parlimen kita bantu 91,000 keluarga dengan bakul makanan dibiayai Kerajaan Negeri.

“Dalam Pakej Selangor 2.0, PKP dua dan tiga setakat ini kita sudah belanja lebih 47,000 keluarga, ini belum termasuk dalam laporan… mungkin kita sudah sedia untuk 60,000 ke 70,000 keluarga bagi program bakul makanan sahaja,” katanya di Facebook.

Pada Mac tahun lalu, Amirudin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin berjumlah RM127.78 juta yang memanfaatkan petugas hadapan, peniaga dan mahasiswa.

Pakej fasa kedua diumumkan pada 1 April 2020 bernilai RM272 juta untuk menangani dampak wabak diikuti Pelan Pemulihan Ekonomi sebanyak RM55.8 juta pada 13 Julai.

Pada 20 Januari tahun ini, Pakej Kita Selangor berjumlah RM73.877 juta diperkenalkan bagi meringankan beban rakyat untuk mendepani PKP 2.0.

Pakej itu sekali lagi diumumkan pada 9 Jun dengan nilai RM551.6 juta bagi membantu golongan berpendapatan rendah, pelajar, usahawan kecil, petani serta penggiat pelancongan.


Pengarang :