EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han (dua, kiri) meninjau keadaan di Pasar Awam Pasir Penambang, Kuala Selangor pada 5 Oktober 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

RM750,000 kos naik taraf pasar Pasir Penambang, ruang niaga selesa

KUALA SELANGOR, 5 OKT: Kerja menaik taraf Pasar Awam Pasir Penambang di sini, memberi manfaat kepada 95 peniaga selepas projek itu siap pada Mac lalu.

EXCO kerajaan tempatan Ng Sze Han berkata projek menelan belanja RM750,000 itu turut memberi keselesaan kepada lebih 1,000 pengunjung harian.

“Kerja menaik taraf ini merangkumi sistem bekalan air, lantai pasar, meja jualan dan longkang selain pembaikan bumbung, gerai, tandas dan pembinaan laluan penjalan kaki.

“Kos keseluruhan sebanyak RM750,000 dengan RM600,000 diperuntuk Kerajaan Negeri dan baki ditanggung MPKS (Majlis Perbandaran Kuala Selangor),” katanya selepas mengadakan lawatan kerja di pasar hari ini.

Sze Han berkata kerja menaik taraf mula dijalankan pada November 2019 dengan semua 95 lot gerai pasar itu dipenuhi peniaga.

Katanya, kos sewaan lot gerai berkenaan bermula serendah RM100 hingga RM1,500 sebulan mengikut tender.

Beliau kemudian meneruskan lawatan kerja di Kuala Selangor dengan meninjau kerja pembangunan Dewan Serbaguna Hillpark dan melihat cadangan projek persimpangan persiaran Eco Grandeur 2.


Pengarang :