Dato’ Seri Amirudin Shari (hadapan, tengah) bergambar bersama penerima selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Idaman Warisan di Bangunan SUK, Shah Alam pada 6 Ogos 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Rumah Idaman guna teknologi pasang siap, kurang bergantung pekerja asing

SHAH ALAM, 27 OKT: Projek Rumah Idaman menggunakan sistem binaan berindustri (IBS) dan teknologi pasang siap yang mesra alam, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penggunaan IBS dapat mengoptimumkan kos pembinaan tanpa menjejaskan kualiti rumah selain dapat mengurangkan kebergantungan pekerja asing.

“Dengan IBS, Rumah Idaman semakin mampu dimiliki kerana kos pembinaan jadi optimum dan yang paling penting meningkatkan kualiti rumah mampu milik supaya dapat didiami dengan selesa.

“Kami yakin dengan rekod prestasi rakan kerjasama MGB Berhad dan LBS Bina Group berdasarkan pengalaman meluas menggunakan sistem binaan berindustri lebih 10 tahun,” katanya.

Beliau berkata dalam pengumuman khas berkaitan Rumah Idaman secara langsung di Facebook rasminya hari ini.

Terdahulu, Amirudin memaklumkan enam projek Rumah Idaman dibina untuk membantu rakyat yang bekerja dan tinggal di Selangor memiliki kediaman pertama.

Projek itu dibina di lokasi strategik meliputi Bandar Saujana Putra, Shah Alam, Puchong, Cybersouth dan Bandar Puncak Alam.

Setiap unit rumah memiliki keluasan 1,000 kaki persegi, reka bentuk praktikal serta dijual dengan harga RM250,000

Rumah Idaman juga dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air, dua ruang parkir, seunit televisyen dan peti ais serta kabinet.

Maklumat terkini boleh dicapai melalui laman sesawang www.platselangor.com.

 


Pengarang :