Wakil Lembaga Zakat Selangor melawat keluarga lelaki yang mengambil cuti tanpa gaji untuk menjaga isteri dan anaknya yang menghidap penyakit kronik di Kampung Pulau Meranti, Sepang baru-baru ini. Foto Facebook Lembaga Zakat Selangor
AGENSISELANGOR

Sanggup cuti tanpa gaji demi jaga isteri, anak sakit kronik

SHAH ALAM, 2 OKT: Seorang suami sanggup mengambil cuti tanpa gaji demi menjaga isteri dan anaknya yang menghidap penyakit kronik di Kampung Pulau Meranti, Sepang.

Isterinya, 40, menghidap barah payudara terlantar akibat tulang rapuh susulan perebakan sel manakala anak berusia setahun mempunyai masalah injap jantung.

Lelaki terbabit yang juga berusia 40 tahun menguruskan sepenuhnya urusan hospital selain perlu melunaskan komitmen seperti bayaran sewa rumah.

Nasib keluarga itu mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan memberi bantuan perubatan selain beberapa keperluan lain.

“Kami juga mendaftarkan keluarga ini bawah asnaf miskin agar bantuan lain dapat disalurkan dengan menyeluruh,” kata agensi itu di Facebook semalam.

Bantuan disampaikan Operasi Agihan Daerah Sepang dan Skuad Saidina Umar Zakat Selangor yang melawat keluarga itu baru-baru ini.

Selain bantuan kepada asnaf, LZS giat membantu individu terkesan akibat Covid-19 terutama golongan berpendapatan rendah dengan peruntukan RM10.5 juta tahun ini.


Pengarang :