Foto Facebook Andalusia Bangi
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan dibuka semula Sabtu ini

KUALA SELANGOR, 6 OKT: Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan di sini yang ditutup sejak Julai tahun lalu akan beroperasi semula 9 Oktober.

Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Rahilah Rahmat berkata pembukaan semula itu susulan kerja menaik taraf telah siap dilaksanakan pada 19 September lalu.

“Kita telah peruntuk RM1.75 juta untuk kerja pengubahsuaian dan diharapkan penambahbaikan ini akan memanggil ramai lagi pengunjung ke Santuasi Kampung Kelip-Kelip Kampung Kuantan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengiringi EXCO Kerajaan Tempatan, Ng Sze Han yang mengadakan lawatan kerja di daerah ini semalam.

Pada 23 Februari 2019, LBS Foundation dengan kerjasama Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) melaksanakan pembangunan semula Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan dalam tempoh tiga tahun.

Yang Dipertua MDKS, Rahilah Rahmat berkata, kerjasama yang dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) itu dijangka dapat memelihara ekosistem dan habitat kelip-kelip, di kawasan berkenaan.

Katanya, Program Tanggungjawab Sosial (CSR) itu turut akan memfokuskan pembinaan semula pintu masuk dan kaunter tiket di kawasan tarikan pelancong terbabit.

Sementara itu, Rahila berkata Bukit Malawati juga sudah dibuka kepada pengunjung pada 2 Oktober lalu.

Katanya, setakat ini pihaknya berpuas hati dengan tahap pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) pengunjung yang hadir di lokasi tumpuan di Kuala Selangor.

 


Pengarang :