Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan isteri, Datin Seri Masdiana Muhammad meluangkan masa menziarahi lima beradik yang kehilangan kedua ibu bapa akibat Covid-19 di Kota Perdana, Seri Kembangan, Puchong pada 11 Oktober 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Selangor bantu kanak-kanak hilang ibu, bapa akibat Covid-19

SERI KEMBANGAN, 12 OKT: Kerajaan Selangor meneliti keperluan serta perancangan bersesuaian untuk kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata inisiatif itu merupakan antara usaha pemulihan pasca Covid-19 memandangkan penularan wabak memberi kesan kepada pelbagai perkara.

Beliau berkata jumlah kanak-kanak berkenaan sedang dikenal pasti selain pihaknya akan melihat keperluan kritikal yang harus diberi.

“Mereka bukan hanya perlu bakul makanan. Jadi kita mungkin beri bantuan guaman atau hubungkan dengan agensi tertentu seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial supaya hak mereka terjaga.

“Kalau tidak mereka akan terlepas begitu sahaja terutama jika keluarga jauh. Kita akan pastikan hidup mereka terjamin termasuk hak jagaan, urusan harta pusaka kerana mereka masih muda dan tak tahu uruskan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui selepas menyantuni lima beradik yang hilang tempat bergantung selepas ibu bapa mereka meninggal dunia akibat Covid-19.

Muhammad Hadhrami, 11; Husna Humaira, sembilan; Muhammad Harraz, lapan; Muhammad Hawwas, enam; dan Hannan Humaira, tiga, kehilangan bapa Mohd Nasir Tahal, 46, pada 11 Ogos.

Ibu mereka Ida Haryanie Abdul Razak, 38, menghembus nafas terakhir Khamis lalu selepas 64 hari ditidurkan di Hospital Putrajaya.

Mereka kini dijaga datuk dan nenek Abdul Hamid Basirun, 67, dan Kintan Sulaiman, 63.


Pengarang :