Exco Kerajaan Negeri Mohd Khairuddin Othman menyampaikan cek cura kepada wakil Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) ketika majlis pelancaran Ceria Atlet Para Selangor 2021 di Kampung Sungai Sekamat, Kajang pada 2 Oktober 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDAEXCONASIONALSELANGOR

Selangor belanja hampir RM200,000 bantu 50 atlet para, bekas atlet

KAJANG, 2 OKT: Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan bernilai RM195,450 kepada 50 bekas atlet dan atlet para Selangor menerusi program Ceria Atlet Para Selangor 2021.

EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman berkata mereka yang mewakili negeri dan negara sehingga ke peringkat antarabangsa menerima bantuan perabot dan membaik pulih kediaman.

“Ini merupakan program tahun kedua kita dan sehingga kini sebanyak RM400,000 dibelanja untuk membantu semua atlet yang pernah mengharumkan nama negeri dan negara.

“Pada tahun ini, kita meneruskan usaha membantu mereka dengan tema ‘Hargai Jasa Atlet’ yang mana lebih memfokuskan kepada kebajikan atlet para. Insya-Allah bantuan akan diberi secara berperingkat sehingga Disember ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program pelancaran Ceria Atlet Para Selangor 2021 di salah sebuah rumah atlet para di Sungai Sekamat di sini hari ini.

Mohd Khairuddin berharap program itu dapat menjadi penanda aras dalam menzahirkan keprihatinan membela kebajikan atlet para dan bekas atlet di negeri ini.

“Jasa dan pengorbanan mereka berjuang mengharumkan nama Selangor dan Malaysia dalam pentas sukan akan kekal dihargai Kerajaan Negeri,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata Selangor menjadi negeri pertama yang membantu atlet termasuk atlet para.

“YB (Mohd Khairuddin) dan Kerajaan Selangor sangat prihatin tahun lepas 50 atlet dibantu, tahun ini 50 lagi. Ini merupakan ganjaran besar semoga ia diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya.


Pengarang :