Foto Facebook Selangor FC
AGENDASUKANKINI

Selangor FC garis empat panduan buat penyokong sebelum ke stadium

SHAH ALAM, 27 OKT: Selangor FC menggariskan empat panduan kepada penyokong Gergasi Merah yang ingin kembali menyaksikan perlawanan bola sepak di stadium, Sabtu ini.

Empat perkara itu membabitkan kriteria penyokong, pembelian tiket, kemasukan penyokong dan kemudahan di stadium, menurut pasukan itu di Facebook rasminya.

Berdasarkan infografik yang dikongsi, hanya individu 18 tahun ke atas yang lengkap vaksinasi dan tidak bergejala dibenarkan masuk manakala warga emas tidak digalakkan.

Pembelian tiket hanya secara maya di https://bit.ly/3BnTSaJ, terhad dua tiket setiap orang yang tidak boleh ditukar milik kerana ia didaftarkan dengan mengemukakan kad pengenalan.

Penyokong yang hadir wajib membawa kad pengenalan untuk pengesahan dan sijil vaksinasi. Pintu stadium akan dibuka jam 6 petang dan ditutup pada separuh masa pertama.

Kemudahan stadium iaitu tandas dan surau dibuka sebelum dan selepas perlawanan, namun ditutup pada rehat separuh masa pertama dan masa tambahan.

Selain itu, tiada aktiviti makan dan minum sepanjang masa di stadium dan kedai cenderahati dibuka kepada orang ramai di luar stadium.

Sabtu ini, Selangor FC dijadual menentang Kuching City FC bagi saingan peringkat kumpulan B Piala Malaysia di Stadium MBPJ, Kelana Jaya jam 9 malam.

Selangor FC berada pada kedudukan kedua dengan mengumpul tiga mata selepas dua perlawanan.

 


Pengarang :