Dato’ Seri Amirudin Shari (depan, dua kiri) bergambar bersama selepas Majlis Perasmian Inisiatif Selangor Freelance anjuran Permodalan Nasional Selangor Berhad di Wyndham Acmar Hotel, Klang pada 28 Oktober 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor Freelance tawar 5,000 peluang latihan, bantu rakyat tambah pendapatan

KLANG, 28 OKT: Inisiatif Selangor Freelance menawarkan 5,000 peluang latihan untuk meningkatkan kemahiran pekerjaan bebas digital sekali gus menjana pendapatan tambahan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program secara kerjasama Permodalan Negeri Selangor Berhad dengan platform bakat bebas, Workana membolehkan rakyat negeri ini mempelajari kemahiran baharu.

“Peserta menjalani sesi latihan pekerja bebas khusus oleh Workana, mereka dilatih untuk memanfaatkan kerja sebagai pekerja bebas serta cara menggunakan platform Workana bagi menjana pendapatan.

“Mereka yang tamat mengikuti latihan ini akan menerima RM400 daripada Kerajaan Negeri selain berpeluang memohon pekerjaan bebas digital menerusi Workana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan inisiatif Selangor Freelance di Hotel Wyndham Acmar di sini, hari ini.

Amirudin berkata individu yang menetap di Selangor berusia 18 tahun ke atas sama ada sudah bekerja atau tidak bekerja boleh membuat permohonan melalui http://selangor.workana.com.http://selangor.workana.com

Pada 20 Januari, Amirudin berkata inisiatif Selangor Freelance bakal mencipta lebih 1,000 peluang pekerjaan dan membantu golongan terjejas berikutan pandemik Covid-19.

Beliau memaklumkan pelaksanaan inisiatif berkenaan disegerakan bagi menyerap hentakan ekonomi dengan peruntukan sebanyak RM10 juta.

Katanya, ia dilaksana dengan kerjasama beberapa platform pekerja bebas untuk menjana pendapatan tambahan melalui ekonomi sampingan.

Selangor Freelance disenaraikan bawah program pendigitalan dalam Belanjawan Negeri 2021 dengan perbelanjaan RM369 juta melalui dana negeri dan anak syarikat (GLC).


Pengarang :