Selangorkini
Sekumpulan pengunjung dibantu petugas menjelajah sekitar kawasan Selangor Fruit Valley pada 23 September 2018. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSI SELANGOR

Selangor Fruit Valley catat jumlah pengunjung harian teramai

SHAH ALAM, 18 OKT: Seramai 1,373 orang mengunjungi Selangor Fruit Valley (SFV) pada dua hari cuti hujung minggu dengan rekod pengunjung harian teramai dicatat semalam dengan 866 pengunjung.

Jumlah teramai sebelum ini dicatat pada 16 September lalu dengan 823 individu.

Pengurus pemasarannya berkata angka direkod semalam mungkin disebabkan kebenaran rentas negeri berikutan terdapat pengunjung dari luar Selangor.

“Mereka datang dari merata tempat dan masih menjadikan SFV sebagai pilihan berdasarkan jumlah kedatangan yang memberangsangkan ini,” kata Nor Rashidah Mohamed Raihan ketika dihubungi SelangorKini.

Mengenai penjualan sayur-sayuran buat kali pertama kelmarin, beliau berkata sambutan amat menggalakkan di mana pengujung berpusu-pusu membeli sebaik selesai menjelajah ladang.

Katanya, dengan harga serendah RM2 bagi setiap pek, pengujung tidak melepaskan peluang membeli sayur-sayuran yang diambil secara terus dari ladang SFV.

SFV dibuka semula 2 Oktober lepas selepas ditutup sementara selama seminggu mulai 25 September bagi penyelenggaraan dan kemas kini tatacara operasi piawai (SOP).

Harga tiket ditawarkan adalah RM15 bagi dewasa, RM10 untuk kanak-kanak dan warga emas manakala warga asing tiket dewasa berharga RM30 dan kanak-kanak RM25.

Maklumat lanjut boleh didapati dengan menghubungi talian 016-6880792 selain e-mel [email protected] atau [email protected] .

SFV melibatkan kawasan seluas hampir 1,000 hektar mempunyai 20 jenis buah-buahan antaranya belimbing, durian, mangga, jambu batu, nangka, pulasan dan anggur.


Pengarang :