Pengunjung bersama ahli keluarga masing-masing merakamkan kenangan ketika terlibat dengan aktiviti yang dijalankan di Selangor Fruit Valley pada 23 September 2018. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Selangor Fruit Valley terima lebih 1,000 pengunjung dalam dua hari

SHAH ALAM, 4 OKT: Selangor Fruit Valley (SFV) dikunjungi 1,122 orang dalam tempoh dua hari pengoperasian semula sehingga semalam.

Pengurus pemasarannya berkata pusat agro pelancongan di Bestari Jaya itu merekod 605 pengunjung pada Sabtu dan 517 semalam dan jumlah itu memberangsangkan selepas seminggu ditutup berikutan kerja penyelenggaraan kawasan dan kemas kini tatacara operasi piawai (SOP).

“Sebelum ini kita pernah menerima kunjungan lebih 800 individu dalam tempoh sehari selepas iklan pembukaan semula disiarkan di platform media sosial.

“Melihat perkembangan tersebut, kita menjangkakan bilangan pengunjung akan bertambah dari semasa ke semasa terutama selepas beberapa penambahbaikan dibuat,” kata Nor Rashidah Mohamed Raihan ketika dihubungi Selangorkini.

Meskipun menerima pengunjung yang ramai, namun beliau memaklumkan situasi adalah terkawal dan tiada pelanggaran SOP dikesan.

“Walaupun kawasan ini luas tetapi tiada masalah untuk kita memantau pematuhan SOP. Pengunjung juga dinasihatkan supaya mengikut setiap garis panduan dan mereka mematuhinya.

“Petugas ditempatkan di pintu utama untuk memastikan hanya individu lengkap dos vaksin dibenarkan memasuki kawasan terbabit manakala anak-anak kecil pula diingatkan sentiasa dalam kawalan ibu bapa dan penjaga,” katanya.

SFV dibuka secara rasmi pada 15 September sebelum ditutup sementara operasi bermula 25 September sehingga 1 Oktober bagi memberi laluan kerja berkaitan.

Harga tiket yang ditawarkan adalah RM15 bagi dewasa, RM10 untuk kanak-kanak dan warga emas manakala warga asing tiket dewasa berharga RM30 dan kanak-kanak RM25.

Maklumat lanjut boleh didapati dengan menghubungi talian 016-6880792 selain e-mel [email protected] atau [email protected].

SFV melibatkan kawasan seluas hampir 1,000 hektar mempunyai 20 jenis buah-buahan antaranya belimbing, durian, mangga, jambu batu, nangka, pulasan dan anggur.


Pengarang :