Selangorkini
Pengunjung bersama ahli keluarga masing-masing merakamkan kenangan ketika terlibat dengan aktiviti dijalankan di Selangor Fruit Valley pada 23 September 2018. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor Fruit Valley terima organisasi, pelawat berkumpulan

SHAH ALAM, 26 OKT: Pengurusan Selangor Fruit Valley (SFV) menerima organisasi atau pengunjung yang mahu mengadakan lawatan secara berkumpulan.

Bagaimanapun, mereka dinasihatkan membuat tempahan awal bagi memudahkan penyelarasan lawatan ke lokasi berkenaan, kata pengurus pemasarannya.

“Pengunjung boleh hadir terus kerana ia lebih mudah dan cepat, namun jika ada yang ingin melawat secara berkumpulan mereka hanya perlu membuat tempahan,” kata Nor Rashidah Mohamed Raihan.

Beliau berkata kebanyakan kumpulan yang hadir mengambil pakej tambahan iaitu memetik dan mengait buah-buahan antaranya jambu, nanas, kelapa pandan dan menoreh getah dengan harga serendah RM6.

Selain itu, jelasnya, SFV dalam proses menganjurkan aktiviti penghasilan telur masin dan memetik bunga kantan yang beroperasi mulai Disember depan.

SFV dibuka secara rasmi pada 15 September sebelum ditutup sementara antara 25 September sehingga 1 Oktober bagi memberi laluan kerja berkaitan.

Harga tiket yang ditawarkan RM15 bagi dewasa, RM10 untuk kanak-kanak dan warga emas manakala warga asing dewasa berharga RM30 dan kanak-kanak RM25.

Maklumat lanjut boleh didapati dengan menghubungi talian 016-6880792 selain e-mel [email protected] atau [email protected]

SFV melibatkan kawasan seluas hampir 1,000 hektar mempunyai 20 jenis buah-buahan antaranya belimbing, durian, mangga, jambu batu, nangka, pulasan dan anggur.


Pengarang :