EXCO Kebudayaan dan Warisan Borhan Aman Shah bersama pegawai tadbir PADAT Datin Wira Siti Khadijah, Kurator PADAT Intan Salina dan pereka fesyen terkenal, Datuk Radzuan Radziwill hadir menghadap DYMM engku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pada 5 Oktober 2021. Foto Facebook Borhan Aman Shah
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Selangor mahu ketengah seni tenunan telepuk, selendang kelingkan

SHAH ALAM, 10 OKT: Kerajaan Negeri akan mengetengahkan kajian berkaitan bengkel atau latihan tenunan telepuk dan selendang kelingkan dalam masa terdekat, kata EXCO kebudayaan dan warisan.

Borhan Aman Shah berkata tindakan itu membolehkan seni warisan berkenaan dikomersialkan selain dapat menjana ekonomi Selangor.

“Saya menghadap Tengku Permaisuri Selangor dan baginda menzahirkan rasa berminat mendengar penjelasan sejarah tenunan telepuk dan selendang kelingkan.

“Jika Terengganu ada tenunan songket, di Selangor mempunyai telepuk dan dahulu mempunyai perusahaan tersendiri,” katanya kepada SelangorKini.

Borhan memaklumkan beliau mahu telepuk dan selendang kelingkan diangkat sebagai pakaian sejarah.

“Kedua-dua seni warisan ini akan diwartakan untuk sebagai pakaian sejarah di Selangor,” katanya.

Pada 5 Oktober lalu berlangsung majlis menghadap Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin di Istana Bukit Kayangan.

Pertemuan berkenaan adalah mengenai telepuk dan kelingkan yang telah diangkat sebagai identiti tekstil dan busana Selangor.

Turut hadir menghadap, pegawai tadbir PADAT Datin Wira Siti Khadijah, Kurator PADAT Intan Salina dan pereka fesyen terkenal, Datuk Radzuan Radziwill.


Pengarang :