Majlis pelancaran program Pengagihan Sumbangan Barangan Makanan Tradisional sempena Sambutan Perayaan Deepavali Peringkat Negeri Selangor oleh EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau pada 18 Oktober 2021. Foto Facebook Ganabatirau Veraman
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Selangor peruntuk RM192,000 agih pek makanan sempena Deepavali

SHAH ALAM, 22 OKT: Sebanyak 3,500 bakul makanan diagih kepada masyarakat India seluruh negeri sempena Deepavali yang akan diraikan awal bulan depan.

Agihan dibuat melalui Ketua Komuniti India dengan menyasarkan keluarga berpendapatan rendah (B40) itu membabitkan dana kira-kira RM192,000, kata EXCO kebajikan masyarakat.

V Ganabatirau menjelaskan pek bernilai RM55 setiap satu mengandungi bahan untuk masakan tradisional kaum itu bagi meringankan beban perbelanjaan penerima.

“Pandemik melanda negara hampir dua tahun bukan hanya memberi cabaran besar kepada satu kaum sebaliknya semua pihak yang mana ekonomi global menjunam selain menjejaskan pekerjaan dan pendapatan orang ramai.

“Inisiatif yang diambil ini diharap mampu memberikan keceriaan kepada mereka untuk meraikan Deepavali walaupun secara bersederhana,” katanya ketika dihubungi Selangorkini.

Sementara itu, beliau memaklumkan tiada penganjuran rumah terbuka berskala besar di peringkat negeri tahun ini meskipun Lembah Klang sudah beralih ke fasa empat pelan pemulihan negara.

“Tidak seperti kelaziman, acara rumah terbuka terpaksa dibatalkan berikutan pandemik Covid-19, apatah lagi ia memerlukan perancangan rapi dua atau tiga bulan (sebelum perayaan),” katanya.


Pengarang :