Borhan Aman Shah (dua, kiri) menyaksikan isteri Dato’ Menteri Besar, Datin Seri Masdiana Mohamad (tengah) menyediakan Nasi Ambeng sambil dibantu Chef Suwarsi M Arukin (dua, kanan) dalam Program `World Food Day 2021′ Makanan Tradisi Negeri Selangor di Kampung Sungai Lang Tengah, Banting pada 16 Oktober 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDAEXCONASIONALSELANGOR

Selangor rancang teruskan Festival Makanan Jawa tahun ini

BANTING, 16 OKT: Kerajaan Negeri merancang menganjurkan Festival Makanan Jawa tahun ini sebagai usaha mempromosikan keunikan makanan masyarakat tersebut kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.

Bagaimanapun, penganjuran pesta berkenaan tertakluk kepada kelonggaran tatacara operasi piawai (SOP) dalam fasa pelan pemulihan negara (PPN), kata EXCO kebudayaan dan warisan.

Borhan Aman Shah memaklumkan festival dijangka berlangsung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Sepat mengetengahkan makanan seperti nasi ambeng, soto jawa, pecal dan ubi ketuk termasuk air kelapa muda.

“Insya-Allah, kita akan buat tahun ini sekiranya pelancong dari luar negara dan himpunan fizikal dibenarkan dalam skala besar.

“Festival ini berpotensi menarik pelancong kerana menampilkan kelainan daripada segi makanan. Saya percaya mereka (pelancong) sama ada dari Eropah atau Timur Tengah akan teruja apabila melihat makanan lain dari yang lain,” katanya.

Borhan berkata demikian pada program Visit MyKampung @ Homestay Kampung Sungai Lang Tengah di sini sempena Hari Makanan Sedunia 2021 hari ini yang turut dihadiri isteri Dato’ Menteri Besar Datin Seri Masdiana Mohamad.

Untuk rekod, beliau berkata festival sama dua tahun lalu di Kampung Endah, Morib mendapat sambutan menggalakkan daripada pelancong tempatan dan antarabangsa.

“Bukan sekadar pelancong tempatan, malah ramai pengunjung dari luar negara datang memeriahkan pesta ini antaranya Amerika Syarikat, Jepun, Filipina,” katanya.


Pengarang :