Pengerusi Pasukan Petugas Khas Covid-19 Selangor (STFC), Datuk Dr Dzulkefly Ahmad. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor rangka garis panduan fasa endemik, elak kes melonjak

KUALA SELANGOR, 3 OKT: Pasukan Petugas Khas Covid-19 Selangor (STFC) merangka garis panduan serta langkah pengendalian wabak yang memasuki fasa endemik hujung bulan ini.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata panduan merangkumi cabaran mendepani kesihatan awam pada masa hadapan selain melibatkan aspek pasca pandemik.

Beliau memaklumkan cadangan dan pandangan berhubung perkara itu sudah diberikan kepada Kerajaan Negeri serta EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud selain bakal mengadakan pertemuan dalam tempoh terdekat.

“Kita tidak boleh ambil tindakan ketika penularan sahaja. Kita mesti buat persiapan menyeluruh dari aspek struktur, infrastruktur, kapasiti, kakitangan termasuk melihat cabaran andainya berlaku perebakan varian Delta atau virus lain.

“Kena buat semua kerana kita penyumbang KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar). Jadi Selangor perlu bersiap siaga dalam cabaran epidemik ini,” katanya ditemui pada Program Clean & Clear Beach Cleanup @Pantai Remis anjuran Team Selangor hari ini.

Sementara itu bekas menteri kesihatan berkata buat pertama kali Selangor mencapai nisbah positif ujian (TPR) seperti ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu perlu kurang daripada lima peratus.

“Kalau tidak silap Selangor catat 4.83 peratus, berbanding negeri lain cecah 18 hingga 20 peratus. Bagimanapun saya tak selesa dengan pencapaian ini kerana sebenarnya lebih rendah. Sekarang ramai gunakan kit saliva (ujian kendiri air liur) jadi mereka yang negatif tidak kemas kini di MySejahtera.

“Saya yakin kalau kita terus patuh SOP (tatacara operasi piawai) kita catat lebih rendah walaupun populasi penduduk tinggi padat. Kita kena rancakkan FTTIS (kenal pasti, pengujian, pengesanan, kuarantin dan sokongan) selain vaksin dan kawasan pengudaraan,” katanya.

Pada 14 September, menteri kanan pertahanan berkata SOP bagi mengawal penularan Covid-19 dikurangkan kepada 10 berbanding 181, yang turut membabitkan kebenaran rentas negeri.

Datuk Seri Hishamuddin Hussein menjelaskan langkah itu bagi memudahkan orang ramai, golongan industri dan penguat kuasa memahaminya susulan peralihan ke fasa endemik dijangka Oktober.


Pengarang :