V Ganabatirau bercakap dalam sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 3 September 2021. Foto REMY ARIFIN/ SELANGORKINI
EXCO SELANGOR

Selangor tawar peluang kerja sambil belajar untuk 300 belia B40

SHAH ALAM, 16 OKT: Kerajaan Negeri menawarkan 300 belia dari keluarga berpendapatan rendah (B40) peluang bekerja sambil melanjutkan pengajian dalam bidang pengurusan perniagaan di Kolej Portman.

EXCO Pemberdayaan Pekerja V Ganabatirau berkata menerusi inisiatif Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) itu peserta terpilih akan diambil bekerja sebagai juruwang dan pembantu stor di Portboy Mart.

Menurutnya, belia terbabit boleh melanjutkan pengajian peringkat sijil dan diploma di Kolej Portman manakala program profesional bagi yang tidak mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia seperti disyaratkan Agensi Kelayakan Malaysia.

“Waktu bekerja lapan jam sehari dan enam hari seminggu, pembelajaran secara dalam talian selama dua jam sehari.

“Inisiatif ini membolehkan belia terbabit mencari pendapatan sambil belajar untuk meningkatkan diri,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ganabatirau berkata peserta tidak terikat dengan kontrak selepas tamat pengajian dan boleh memilih untuk terus bekerja dengan Portboy atau syarikat lain.

“Mereka juga mempunyai pilihan untuk meneruskan pengajian bagi mendapatkan ijazah,” katanya.

Individu berminat boleh memohon menerusi pautan di Facebook UPPS.


Pengarang :