Penghantar barangan dalam talian aplikasi “Seldec Rider” mengangkat beg barangan mereka selepas selesai sesi sidang media Pelancaran Web Portal SELDEC (Selangor Digital e-Supply Chain) & Sistem Aplikasi “Seldec Rider” di Bangunan SUK Selangor, Shah Alam pada 24 Jun 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Seldec dapat sambutan, 1,100 usahawan terlibat setakat 15 Oktober

SHAH ALAM, 20 OKT: Seramai 1,100 usahawan kecil dan mikro menyertai program Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) sejak 20 Jun tahun lalu sehingga 15 Oktober.

Angka itu dianggap memberangsangkan berikutan hampir setiap hari pendaftaran baharu direkodkan terutama usahawan dari kawasan bandar, kata pengurus besar pembangunan perniagaannya.

Noraziziah Abdullah menjelaskan perkembangan itu juga didorong hasil kerjasama dengan syarikat penghantaran seperti Line Clear Express, Logistika dan Pos Laju.

“Alhamdulillah, sambutan baik dengan setiap hari jumlah pendaftaran bertambah. Kita bukan buat (penghantaran) dalam Selangor sahaja kerana ada juga barang dipesan pelanggan tiada di negeri mereka, jadi mereka memilih perkhidmatan kita,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, beliau berkata Seldec akan menambah kategori baharu jualan produk dalam masa terdekat meliputi fesyen dan perabot rumah dengan kerjasama Bazar Lokal.

“Bagaimanapun, buat masa ini kita masih mengetengahkan barangan basah selain makanan sejuk beku dan sedia dimakan,” katanya.

Pada Oktober 2019, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan pelancaran Seldec bertujuan membantu peniaga meningkatkan pendapatan menerusi jualan secara dalam talian.


Pengarang :