AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selenggara aset bekalan air untuk pastikan sistem berfungsi baik

SHAH ALAM, 10 OKT: Penyelenggaraan aset kritikal loji rawatan Sungai Selangor Fasa 1 pada Rabu ini melibatkan penggantian beberapa alatan bagi memastikan semua sistem berfungsi dengan baik.

Sekiranya peralatan tidak diganti, kebocoran boleh berlaku pada bila-bila masa sekali gus mengakibatkan henti tugas loji tidak berjadual, kata ketua wilayah utara jabatan pengeluaran Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd.

Jelas Zulkifli Abdul Hamid kejadian seumpama itu memerlukan masa lama untuk proses pembaikan hingga mengakibatkan pengguna tidak sempat menyimpan bekalan selain pemain industri berdepan kesukaran untuk merancang rapi operasi dan perniagaan mereka.

“Penyelenggaraan melibatkan gantian tiga batang paip air tapisan bersaiz 1,200 milimeter (mm) diameter setiap satu selain injap kupu-kupu dan suis di pam air terawat bersaiz 1,450 mm dan 1,350 mm.

“Ia turut melibatkan kerja penebukan kolam air terawat dan kolam imbangan, mencuci kolam serta membaiki kebocoran paip terawat bersaiz 2,100 mm diameter,” katanya menerusi video dimuat naik di Facebook Air Selangor.

Jelas Zuklifli kerja penyelenggaraan juga penting untuk pastikan fungsi loji terbesar negeri dengan kapasiti 950 juta liter air sehari itu efisen serta memberi kelestarian bekalan air terawat kepada pengguna.

“Kerja ini sudah tertangguh dua kali iaitu pada 23 Julai 2019 dan 14 April 2020 disebabkan insiden pencemaran sumber air Sungai Selangor. Ketika itu gangguan air berskala besar berlaku,” katanya.

Sepanjang 13 hingga 16 Oktober, kerja penyelenggaraan melibatkan penduduk 998 kawasan di Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Sebanyak 105 lori tangki air akan digerakkan ke kawasan berkenaan selain 18 pili air awam disediakan mulai 14 hingga 16 Oktober demi kemudahan pengguna sepanjang tempoh itu.

Kerajaan Selangor juga menggerakkan sukarelawan di peringkat DUN, Team Selangor, Selangor Volunteer (Serve), Penggerak Belia Selangor (PeBS) dan ketua kampung bagi membantu pengguna terlibat.

Senarai lengkap kawasan terlibat, pili air awam dan stesen pengisian air setempat boleh didapati di laman pautan http://hentitugas.airselangor.com.

 


Pengarang :