Exco Kerajaan Negeri, Dr Siti Mariah Mahmud, menerima kit kesihatan daripada wakil Selgate ketika Majlis pelancaran Suka 2021 di Dataran Ilmu Bandar Baru Selayang, Gombak pada 14 Oktober 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Selgate, Pertubuhan Gagasan Sharifuddin sumbang peralatan kepada sukarelawan kesihatan

SELAYANG, 15 OKT: Program Sukarelawan Komuniti Kesihatan Selangor (Suka) menerima sumbangan 2,800 set peralatan perlindungan diri (PPE) daripada Selgate Corporation Sdn Bhd (Selgate).

EXCO kesihatan berkata sumbangan itu dapat membantu ahli Suka menghindar jangkitan Covid-19 memandangkan mereka turut memeriksa pesakit dikuarantin.

“PPE ini akan diberi kepada semua DUN untuk kegunaan ahlinya. Jika perlukan lebih kita akan tambah menggunakan peruntukan diberi.

“Suka juga menerima 30,000 kit ujian kendiri (saliva) daripada Pertubuhan Gagasan Shariffuddin sebagai menjayakan program kesihatan komuniti setempat ini,” kata Dr Siti Mariah Mahmud.

Beliau ditemui pada pelancaran Suka yang dirasmikan Dato’ Menteri Besar.

Terdahulu, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peruntukan sebanyak RM1.2 juta disediakan untuk inisiatif itu selain menerima lebih 1,000 individu sebagai sukarelawan.

Sementara itu seorang sukarelawan berkata penyertaan dalam inisiatif itu sebagai membantu orang awam terutama mereka yang mengalami kesusahan hidup.

Muhammad Faiz Nordin,44, berkata selama bekerja dengan ahli majlis dan wakil rakyat Taman Templer, dia sering melawat orang kurang berkemampuan dan menyaksikan kesengsaraan ditanggung penduduk.

“Saya tidak ada duit untuk bantu mereka. Hanya harapkan tenaga sendiri saja untuk membanti golongan memerlukan.

“Usaha ini sangat bermakna terutama kepada mereka yang berdepan kesusahan serta berpenyakit,” katanya yang menjadi Koordinator Suka Taman Templer.


Pengarang :