Orang ramai membuat pendaftaran sebelum menerima suntikan pelalian ketika program Selvax Remaja DUN Tanjung Sepat di Dewan Ulu Chuchoh, Sepang pada 28 Oktober 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selvax percepat suntikan pelalian remaja Orang Asli tercicir

SEPANG, 28 OKT: Program Vaksin Selangor (Selvax) Remaja membantu mempercepatkan pemberian suntikan pelalian Covid-19 kepada remaja Orang Asli tercicir.

Tok Batin Kampung Orang Asli Bukit Bangkong Taha Akhir berkata masih golongan itu belum mendapat janji temu vaksin dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) terutama mereka yang tidak lagi bersekolah.

Menurutnya, keadaan itu menimbulkan kebimbangan dan pengenalan Selvax Remaja bermula 24 Oktober lalu melegakan mereka yang menantikan untuk mendapat vaksin Covid-19.

Tok Batin Kampung Orang Asli Bukit Bangkong, Taha Akhir bercakap kepada SelangorKini ketika program Selvax Remaja DUN Tanjung Sepat di Dewan Ulu Chuchoh, Sepang pada 28 Oktober 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Semua penduduk dewasa di kampung kami sudah lengkap vaksin, sekarang kami galakkan pula anak-anak remaja untuk diberi perlindungan daripada wabak.

“Bagus ada program ini, remaja tercicir boleh datang untuk ambil vaksin dengan segera, tidak perlu tunggu lama,” katanya ditemui pada Selvax Remaja di Dewan Orang Ramai Kampung Ulu Chuchoh dekat sini hari ini.

Peserta Selvax Remaja, Muhammad Aimar Adani Azmi, 15, berkata proses penerangan oleh petugas kesihatan sebelum disuntik vaksin menambah keyakinanya yang mengakui sebelum ini bimbang dengan kesan pengambilan suntikan pelalian itu.

“Prosedur teratur dan berjalan lancar, tidak perlu tunggu lama serta pusat pemberian vaksin pun dekat dengan rumah,” katanya.

Muhammad Aimar Adani Azmi

Program Selvax Remaja bermula di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang dan diperluas ke beberapa kawasan DUN antaranya Pandamaran, Bukit Lanjan dan Tanjung Sepat.

Pada 7 Oktober Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Selvax diperluas kepada penerima remaja melibatkan 150,000 dos pelalian selepas dipersetujui Kementerian Kesihatan Malaysia.

Pada Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini diikuti Selvax bergerak.

Inisiatif melibatkan kos mencecah RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka PICK menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan pekerja industri.


Pengarang :