Harinesh A/L Pandian, 18, menerima suntikan ketika program Vaksin Selangor (Selvax) Remaja di Dewan Serbaguna MPK, Pandamaran Jaya, Klang pada 24 Oktober 2021, Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Selvax Remaja di tiga lokasi lagi sehingga hujung bulan

SHAH ALAM, 24 OKT: Program Vaksin Selangor (Selvax) Remaja berumur 12 tahun ke atas diteruskan ke tiga lagi lokasi antara 28 hingga 31 Oktober.

Ia meliputi Dewan Orang Ramai Kampung Ulu Chuchoh pada 28 Oktober dan Dewan Serbaguna Komuniti Blok G, Apartment Flora Damansara (30 Oktober).

Sementara Dewan Kompleks Sukan Pandamaran pada 31 Oktober, menurut poster dikongsi EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud di Facebook rasminya.

Terbuka kepada rakyat tempatan dan bukan warganegara, program dikhususkan buat peserta yang belum menerima dos pertama atau tercicir dos kedua Selvax.

Orang ramai perlu mendaftar awal melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dengan menekan butang VAX dan masukkan kod baucar yang betul.

Berikut langkah-langkah pendaftaran:

1. Muat turun SELangkah di Playstore atau Appstore. Klik ikon SELangkah untuk proses pradaftar
2. Tekan butang ‘VAX’
3. Tekan temu janji
4. Tekan semak temu janji
5. Tekan kotak ungu
6. Masukkan kod baucar mengikut lokasi PPV berhampiran
7. Tekan seterusnya
8. Pilih tarikh

Sekurang-kurangnya 10,000 remaja disasar menerima vaksin Covid-19 melalui Selvax Remaja bermula hari ini di Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya.

Pada 7 Oktober, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Selvax diperluas kepada remaja melibatkan 150,000 dos pelalian selepas dipersetujui Kementerian Kesihatan Malaysia.

Sebelum ini, Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian penduduk negeri ini.


Pengarang :