Siti Norlidah Khadri,42, (kiri) menemani anaknya, Adam Izz’an Muhamad Nasir,13, (kanan) yang menerima vaksin Covid-19 di bawah program Vaksin Selangor (Selvax) Remaja di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Klang Pandamaran Jaya, Klang pada 24 Oktober 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selvax Remaja: Selangor tidak pinggir pelajar maahad tahfiz

KLANG, 24 OKT: Sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja bermula 24 September lalu, Adam Izz’an Muhamad Nasir hanya mampu melihat rakan sebayanya mendapat suntikan pelalian itu dan menikmati kelonggaran diberikan.

Pelajar maahad tahfiz milik persendirian berusia 13 tahun berasal dari Subang itu menunggu gilirannya namun tidak kunjung tiba kerana program berkenaan mengutamakan remaja bersekolah di institusi di bawah Kementerian Pendidikan.

Namun, apabila Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Vaksin Selangor (Selvax) Remaja, Adam Izz’an meminta ibu bapanya mendaftarkannya dan bernasib baik kerana menjadi antara peserta awal program itu yang bermula hari ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari (kanan) dan ADN Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri (dua,kanan) beramah mesra dengan peserta program Vaksin Selangor (Selvax) Remaja di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Serbaguna MPK, Pandamaran Jaya, Klang pada 24 Oktober 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Adam Izz’an berkata dia gembira kerana penantian mendapatkan suntikan vaksin berakhir yang memberi keyakinan kepadanya mengikuti proses pembelajaran secara bersemuka dan menjalani kehidupan seharian.

“Saya gembira Kerajaan Negeri bantu pelajar maahad dapat vaksin dengan cepat, bimbang juga kalau tunggu terlalu lama kerana Covid-19 masih berleluasa,” kata pelajar Maahad Tahfiz Bidayatul Hidayah, Kota Kemuning, Shah Alam itu.

Bagi seorang ibu, Foo May Fong,46, dia memilih Selvax Remaja kerana mahu anaknya, Liew Yu Ler,15 dan Liew Yu Shern disuntik dengan vaksin jenis Sinovac.

“Sebelum ini kami tolak janji temu di PICK kerana program itu beri vaksin jenis Comirnaty (Pfizer-BioNTech), saya bimbang kerana kesannya lebih kuat untuk kanak-kanak…jadi saya lebih cenderung Sinovac.

“Perjalanan pemberian vaksin sangat baik dan kami berterima kasih kepada Kerajaan Negeri yang mengambil inisiatif itu untuk melindungi semua orang termasuk remaja,” katanya yang tinggal di Mahkota Cheras, Hulu Langat.

Program Selvax Remaja bermula di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang hari ini sebelum diperluas ke beberapa kawasan DUN antaranya Pandamaran, Bukit Lanjan dan Tanjung Sepat.

Pada 7 Oktober Amirudin mengumumkan Selvax diperluas kepada penerima remaja melibatkan 150,000 dos pelalian selepas dipersetujui Kementerian Kesihatan.


Pengarang :