Selangor Fruit Valley yang dibuka sejak 15 September sedia menerima lebih ramai pengunjung. Foto Facebook YB Ir Izham Hashim
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Seminggu ditutup, Selangor Fruit Valley dibuka semula esok

SHAH ALAM, 1 OKT: Selangor Fruit Valley (SFV) akan beroperasi semula esok selepas ditutup selama seminggu sebelum ini.

Pusat agro pelancongan yang terletak di Bestari Jaya itu memaklumkan ia dibuka setiap hari kecuali Jumaat bermula jam 9 pagi hingga 4 petang.

“Pelbagai aktiviti menarik menanti anda seperti menaiki tram mengelilingi ladang, melawat pavilion, eco bridge, laman herba, taman rusa, taman arnab dan rumah kampung,” katanya di Facebook.

Menerusi hantaran berbeza di Facebook sebelum ini, SFV memaklumkan pihaknya terpaksa menutup sementara operasi bermula 25 September sehingga 1 Oktober.

Penutupan berkenaan bagi kerja penyelenggaraan kawasan dan kemaskini tatacara operasi piawai (SOP) pelancongan.

Pada 16 September SFV dibuka secara khusus kepada individu lengkap dos vaksin dengan tawaran satu tiket percuma bagi setiap tiga pembelian pas masuk.

Harga tiket yang ditawarkan adalah RM15 bagi dewasa, RM10 untuk kanak-kanak dan warga emas manakala bagi warga asing tiket dewasa berharga RM30 dan kanak-kanak RM25.

Maklumat lanjut boleh didapati dengan menghubungi talian 016-6880792 selain e-mel [email protected] atau [email protected].

SFV melibatkan kawasan seluas hampir 1,000 hektar mempunyai 20 jenis buah-buahan antaranya belimbing, durian, mangga, jambu batu, nangka, pulasan dan anggur.


Pengarang :