Selangorkini
Tan Sri Dr Rais Yatim ketika sidang Dewan Negara di bangunan Parlimen pada 14 Oktober 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Senator, pegawai boleh berbaju batik ke Dewan Negara setiap Khamis

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Dewan Negara membenarkan pemakaian batik kepada semua senator dan pegawai pada setiap Khamis.

Pengumuman itu dibuat oleh Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim mengikut Peraturan Mesyuarat 90 (Kuasa-kuasa dalam perkara-perkara lain) sebelum sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

“Sukacita dimaklumkan bahawa Dewan Negara sentiasa menyokong perkembangan dan pembangunan industri batik negara.

“…khususnya dalam menjamin dan memastikan warisan seni dan identiti negara kekal terpelihara, segar, dihargai dan seterusnya dikenali masyarakat antarabangsa di samping memajukan dan meningkatkan perkembangan industri tekstil dalam negara Malaysia,” katanya yang menggalakkan pemakaian batik tempatan.

Rais berkata kebenaran itu bukan sahaja dapat menonjolkan semangat kebersamaan Ahli Dewan Negara mendukung warisan negara, malah dapat melonjakkan imej Malaysia dalam kalangan rakyat yang kini semakin peka dengan peranan serta fungsi legislatif negara.

“Sukacita saya mengakhiri dengan menyatakan bahawa dasar pemakaian batik pada 2005 itu hidup kembali,” katanya.

Pada 11 Okt lepas, Jawatankuasa Dewan telah bersetuju dengan cadangan pemakaian baju batik Malaysia berlengan panjang bagi Ahli-Ahli Parlimen ketika menghadiri persidangan Dewan Rakyat setiap Khamis.

— BERNAMA


Pengarang :