Azmizam Zaman Huri meninjau kerja penyelenggaraan sistem perparitan di Kampung Perajurit, Telok Gong pada 19 Oktober 2021. Foto FACEBOOK PUSAT KHIDMAT RAKYAT N46 PELABUHAN KLANG
ADNSELANGOR

Senggara parit kampung sekitar Pelabuhan Klang, elak risiko banjir kilat

SHAH ALAM, 20 OKT: Penyelenggaraan sistem perparitan dijalankan setiap masa di beberapa kawasan sekitar Pelabuhan Klang bagi mengatasi isu banjir kilat.

Kerja dilaksana Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Klang menumpukan kawasan berisiko iaitu Kampung Perajurit, Taman Selat Damai dan Taman Teluk Gedung, kata wakil rakyatnya.

Azmizam Zaman Huri menjelaskan langkah itu juga sebagai persediaan awal menghadapi musim air pasang besar sekali gus menjamin keselamatan penduduk setempat.

“Kita tidak boleh halang cuaca, jadi mereka (JPS) laksana kerja pengorekan sepanjang masa tanpa menunggu aduan daripada penduduk.

“Sekurang-kurangnya kalau berlaku banjir hanya di atas jalan. Sistem perparitan juga tidak akan tersumbat sekali gus mengelak air masuk ke dalam rumah penduduk,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau turut menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi supaya sentiasa memantau longkang dan parit di kawasan pentadbiran yang perlu menjalani proses sama.

“Mereka kena lebih proaktif untuk memastikan sistem perparitan dapat mengalirkan air dengan lancar. Saya berterima kasih kepada JPS Klang dan MPK yang mengambil langkah seperti ini di kawasan berkenaan,” katanya.


Pengarang :